Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 I Nama Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil tidak diumumkan sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras atau mana-mana kerusi di Selangor.

Sebaliknya, dalam majlis pengumuman calon BN Selangor hari ini, nama Ketua Umno bahagian Subang Datuk Zein Ismail disebut sebagai calon di DUN berkenaan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, nama Isham disebut-sebut sebagai antara calon menteri besar Selangor dari BN.

Namun dikatakan berlaku konflik apabila Zein turut berminat di kerusi berkenaan sekiranya tidak dapat bertanding di parlimen Subang atau nama barunya Sungai Buloh.

Nama Isham disebut selepas graduan Universiti Harvard itu sebelum ini aktif mengulas mengenai isu-isu di Selangor.

Malah menerusi Facebooknya beliau dilihat ada mengunjungi penduduk di DUN Paya Jaras.

Isham juga turut hadir semasa pelancaran manifesto BN Selangor pada 8 April lalu.

Bagaimanapun, pada sesi menamakan calon hari ini Isham tidak kelihatan kerana difahamkan beliau kini berada di Pulau Pinang.

Dalam pilihan raya umum ke-13, PAS buat pertama kalinya berjaya merampas DUN yang sebelum ini disandang BN.

Ketika itu, PAS mencalonkan Mohd Khairuddin Othman dan mendapat 5,522 undi majoriti mengalahkan penyandang DUN berkenaan Datuk Muhammad Bushro Mat Johor.

PAS yang ketika itu bersama Pakatan Rakyat berjaya merampas DUN berkenaan yang selama ini dimenangi BN sejak 1986.

Khairuddin kini telah bersama PKR.

Pada pilihan raya umum kali ini, DUN Paya Jaras akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila PAS mencalonkan Mohd Hanafi Zulkapli, Zein dari BN dan Khairuddin yang mewakili PKR.

Lihat Komen
ADS