PRU14 | Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya selama tiga penggal sejak 2004 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Penasihat Politik kepada Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Shaziman Abu Mansor masing-masing kekal mempertahankan kerusi Parlimen Rembau dan Parlimen Tampin.

Kerusi Parlimen Rembau disandang Khairy selama dua penggal sejak 2008 manakala Shaziman di Parlimen Tampin selama empat penggal sejak 1999.

Mohamad (gambar) mengumumkan bahawa Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek juga dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah yang disandangnya selama tiga penggal sejak 2004.

BN turut mencalonkan muka baharu iaitu personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail, 41, atau lebih popular sebagai Syamsul Debat untuk bertanding di kerusi DUN Sikamat, katanya pada majlis penyerahan watikah kepada calon-calon BN di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seremban, hari ini.

Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang juga Ketua Umno Bahagian Port Dickson (sebelum ini Telok Kemang) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (gambar, bawah) pula tidak dicalonkan untuk mempertahan kerusi Parlimen Jempol.

Sebaliknya, muka baharu iaitu Ketua Umno Bahagian Jempol yang juga bekas Anggota Dewan Negara Datuk Mohd Salim Sharif@Mohd Sharif dicalonkan bertanding kerusi berkenaan pada PRU14.

BN Negeri Sembilan turut mengekalkan 15 penyandang kerusi DUN iaitu Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (Serting), Datuk L. Manickam (Jeram Padang), Datuk Abu Ubaidah Redza (Ampangan), Datuk Abdul Samad Ibrahim (Seri Menanti), Datuk Norhayati Omar (Pilah), Datuk Hasim Rusdi (Labu), Mohd Ghazali Abd Wahid (Paroi), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Seri Dr Awaludin Said (Kota), Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (Bagan Pinang), Datuk Abdul Rahman Mohd Redza (Linggi), Datuk Abdul Razak Ab Said (Gemas) dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Gemencheh).

Selain Syamsul Debat dan Mohd Salim, BN negeri juga menyenaraikan 17 muka baharu termasuk Parlimen Rasah yang akan ditandingi Pengerusi Biro Perundangan MCA Ng Kian Nam dan Parlimen Seremban yang ditandingi Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon.
 

 

-Bernama

<