Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hak Puad tanding atas tiket apa pun, kata Zahid

PRU14 | Keputusan tidak meletakkan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) adalah berdasarkan kepada hasil penilaian landskap politik di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu harus menerima hakikat bahawa kawasan itu berada dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.

Beliau berkata dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan dari tangan PKR.

“..tapi kalau ada kawasan PDM (bilik gerakan pusat daerah mengundi) buat sementara ditutup sebab protes dan beliau sendiri akan bertanding atas tiket apa sekalipun, itu hak beliau,” katanya dalam satu persidangan media di penghujung lawatan kerja beliau ke Sarawak, di bilik VIP, di lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

"..tapi (kalau itu berlaku) beliau tidak menunjukkan semangat kepartian yang tinggi walaupun dia salah seorang anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Pengarah Jasa. Negara ini adalah negara demokrasi, terserah kepada beliau” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Mohd Puad akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 ini selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN yang akan bertanding di Johor.

Ahmad Zahid berkata beliau sendiri (Zahid) pernah menerima tekanan lebih hebat sebelum ini, namun menurutnya sebagai “orang parti” semangat kepartian harus mengatasi kepentingan lain.

“Kalau saya dalam kedudukan beliau (Puad), saya tidak akan keluar parti, apa lagi bertanding sebagai calon bebas,” katanya.

Nasib tak menyebelahinya

Menurutnya Mohd Puad sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada 2013, namun nasib tidak menyebelahinya, dan Mohd Puad juga pernah dilantik sebagai senator dan diberi peranan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini.

Merujuk kepada persiapan PRU di Sarawak, Ahmad Zahid berkata BN perlu berfikiran positif dalam usahanya memenangi kawasan pilihan raya, dan walaupun ketika ini BN negeri menghadapi sedikit masalah dalaman, namun menurutnya ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana pilihan raya.
 

-Bernama

Lihat Komen
ADS