Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PKR akhirnya umum nama calon di Selangor
Diterbitkan:  Apr 23, 2018 11:36 PM
Dikemaskini: 5:19 PM

PRU14 | Majlis ceramah Pakatan Harapan di Kuala Selangor pada malam ini asalnya diuar-uarkan bakal menjadi pentas buat PKR mengumumkan calon mereka untuk Selangor.

Namun semalam berlaku 'ribut kecil' apabila tersebar khabar angin mendakwa senarai yang sudah disediakan itu tidak memuaskan hati sesetengah pihak dalam parti berkenaan.

Justeru petang tadi Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menegaskan setakat pengetahuan beliau ceramah pada malam ini tidak akan melibatkan pengumuman calon.

Namun keadaan berlaku sebaliknya. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah membuat pengumuman nama-nama calon yang ditunggu-tunggu itu satu demi satu.

Azmin sendiri kekal di dua kerusi yang ditandinginya sebelum ini iaitu Gombak (parlimen) dan Bukit Antarabangsa (dewan undangan negeri), manakala Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga kekal di Ampang.

Bekas pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah pula diletakkan di kerusi parlimen Petaling Jaya.

Seorang lagi naib presiden PKR dan bekas exco Selangor Xavier Jayakumar dipindahkan dari DUN Seri Andalas ke kerusi parlimen Kuala Langat.

Pegawai khas kepada menteri besar Selangor Hilman Idham adalah antara muka baru yang diketengahkan oleh PKR kali ini. Dia diletakkan untuk bertanding di Gombak Setia.

Sebelum ini media melaporkan Azmin mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Pertemuan itu dipercayai ada kaitan dengan penyusunan tokoh yang akan disenaraikan sebagai calon parti berkenaan pada PRU ke-14 pada 9 Mei ini.

Memetik kenyataan Azmin, akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan bekas setiausaha Anwar itu tidak tahu-menahu mengenai cadangan PKR mahu mengumumkan calon mereka.

"Dengan kata lain, jika perbincangan selesai malam ini kita boleh umumkannya. Namun setakat pengetahuan saya (program) malam ini hanya aktiviti kempen," katanya.

Berikut adalah senarai kerusi dan calon yang dibacakan Dr Wan Azizah sebentar tadi.

Parlimen:

  • Hulu Selangor: Leow Hsiad Hui
  • Selayang: William Leong
  • Gombak: Azmin Ali
  • Ampang: Zuraidah Kamaruddin
  • Subang: Wong Chen
  • Petaling Jaya: Maria Chin Abdullah
  • Sungai Buloh: Sivarasa Rasiah
  • Kapar: Abdullah Sani
  • Kuala Langat: Xavier Jayakumar

Dewan undangan negeri:

  • Paya Jaras: Khairuddin Othman
  • Permatang: Rozana Zainal Abidin
  • Bukit Melawati: Sivamalar Ganapathy
  • Ijok: Idris Ahmad
  • Rawang: Chua Wei Kiat
  • Sungai Tua: Amiruddin Shaari
  • Gombak Setia: Hilman Idham
  • Bukit Antarabangsa: Azmin Ali
  • Lembah Jaya: Haniza Talha
  • Kajang: Hee Loy Sian
  • Seri Setia: Najwan Halimi
  • Taman Medan: Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
  • Bukit Lanjan: Elizabeth Wong Keat Peng
  • Kota Damansara: Shatiri Mansor
  • Kota Anggerik: Shaharuddin Badarudin
  • Batu Tiga: Rodziah Ismail
  • Sementa: Daroyah Alwi
  • Pelabuhan Klang: Azmizam Zaman Huri
  • Sentosa: Dr Gunaraj George
  • Sungai Kandis: Shuhaimi Shafiee
  • Tanjong Sepat: Borhan Aman Shah

Bagaimanapun nama calon untuk kerusi parlimen Pandan tidak diumumkan.

Pandan mencatatkan kemenangan paling besar buat PKR dalam PRU ke-13 lalu. Bagaimanapun penyandangnya Rafizi Ramli, tidak bertanding kali ini.

Ditanya selepas majlis ceramah itu, Wan Azizah menjelaskan beliau sengaja tidak mengumumkan nama calon untuk kerusi Pandan.

 

"Saya memikirkan Rafizi. Tidak mudah (untuk melakukannya) kerana undang-undang tidak memihak kepada dia," katanya.

Sementara itu Dr Wan Azizah sempat menitipkan pesan kepada semua penyokong PKR supaya menerima keputusan yang diambil bagi menghadapi PRU ke-14 ini.

"Apabila kita menghadapi PRU akan datang, ada juga (nama) yang tercicir, ada juga yang tidak terpilih.

"Jangan lupa (kepada) pengorbanan ramai untuk kita sampai ke tahap ini.

"Mungkin ada mungkin tidak tercatat, mungkin ada yang terasa, mungkin ada yang kehilangan, namun kita nak kemenangan, betul tak?" katanya.

Dianggarkan kira-kira 5,000 orang memenuhi Stadium Mini Kuala Selangor semasa ceramah itu berlangsung.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden AMANAH Hasanuddin Mohd Yunus.

Lihat Komen
ADS