Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 beranak maut kereta bertembung pacuan empat roda
Diterbitkan:  Apr 24, 2018 6:18 AM
Dikemaskini: 10:20 PM

Tiga beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Km30 Jalan Bota Kanan-Teluk Intan di Parit, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.20 petang itu, Rohaida Sidak, 48, dan anaknya Nor Syarina Mohd Jamil, 19, yang juga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil Shah, Kampung Gajah di sini, maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Suami Rohaida, Mohd Jamil Utok, 46, yang cedera parah dalam kemalangan tersebut meninggal dunia kira-kira 10.15 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata kejadian dipercayai berlaku apabila keluarga berkenaan yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Kampung Gajah.

"Sebaik tiba di tempat kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux terbabas ke kanan jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Jamil yang memandu kereta tersebut cedera parah dan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia.

Mohamad Zainal berkata pemandu Toyota Hilux berumur 29 tahun serta sepupunya berumur 20 tahun, kedua-duanya lelaki, masing-masing cedera di kepala dan dibawa ke Hospital Pantai Ipoh untuk menerima rawatan.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS