Seorang pemandu merempuh orang ramai dengan van yang dipandunya di Toronto pada hari Isnin, membunuh sembilan orang dan mencederakan 16 yang lain, kata polis.

Perbadanan Penyiaran Kanada (CBC) mengenal pasti suspek sebagai Alek Minassian, 25, tanpa menyatakan sumber maklumat itu.

Memetik pegawai kerajaan, ia berkata Minassian tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan militan terancang.

Pegawai enggan menjawab soalan mengenai apa yang mendorong pemandu itu merempuh orang ramai sebelum jam 1.30 tengahari di bahagian utara bandar terbesar di Kanada itu.

Mereka berkata pemandu itu berada dalam tahanan.

Tetapi sekurang-kurangnya seorang saksi menggambarkan pemandu itu sebagai sengaja mensasarkan mangsa, demikian menurut laporan media.

"Ini akan menjadi satu siasatan yang panjang," kata Timbalan Ketua Polis Toronto Peter Yuen kepada wartawan selepas memberitahu jumlah kematian.

"Penyiasatan itu berada di tahap di mana tidak ada maklumat lanjut yang dapat disahkan pada masa ini," kata Menteri Keselamatan Awam Kanada, Ralph Goodale, dalam satu sidang akhbar,.

"Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk menentukan apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku, dan motifnya," kata Goodale.

Seorang saksi memberitahu Reuters dia ternampak sekurang-kurangnya dua mayat di tempat kejadian.

Lima orang masih dalam keadaan kritikal di Pusat Perkhidmatan Kesihatan Sunnybrook pada petang Isnin, kata hospital itu.

CBC menyiarkan video yang dikatakan dirakam oleh seorang yang berada di situ yang menunjukkan polis menangkap suspek di tempat kejadian ketika dia menjerit: "Bunuh saya" dan mengacu objek yang tidak dapat dipastikan ke arah seorang anggota polis.

Video itu kemudian menunjukkan apa yang kelihatan seperti lelaki yang sama terbaring, dengan tangannya bergari.

Jurucakap Ryder System Inc, Claudia Panfil mengesahkan bahawa salah sebuah kenderaan sewa syarikat itu terlibat dan berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Terdapat rentetan serangan maut menggunakan kenderaan di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk serangan pada 31 Okt di New York yang membunuh lapan orang. Kumpulan militan IS menggalakkan penyokongnya melakukan serangan dengan menggunakan kenderaan.

'Tidak pernah berlaku'

Insiden itu merupakan salah satu kejadian keganasan yang paling buruk dalam sejarah terkini Kanada.

Seorang bekas pelajar universiti Kanada mengaku bersalah bulan lalu atas tuduhan membunuh enam orang yang sedang bersembahyang di masjid Bandaraya Quebec pada Januari 2017.

Pada bulan September, seorang pelarian Somalia didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dengan merempuh empat orang pejalan kaki dengan kereta dan menikam seorang anggota polis di luar sebuah stadium di Edmonton, Alberta.

"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini," kata John Flengas, pemangku penguasa perkhidmatan paramedik Toronto. "Kami tidak pernah melihat kejadian seperti ini di bandar Toronto. "

Kejadian itu berlaku kira-kira 30 km dari tapak di mana Toronto menganjurkan pertemuan menteri-menteri luar G7 dari Kanada, Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun. Namun ia dilihat tidak terkesan dengan kejadian itu.

Seorang lelaki yang memberi namanya sebagai Ali memberitahu CNN dia melihat van itu dan pemandu itu kelihatan menyasarkan orang ramai.

"Orang ini sengaja melakukannya, dia membunuh semua orang," kata lelaki itu. "Dia terus merempuh dan merempuh orang ramai."

Katanya, sebilangan mangsa adalah warga emas dan dia juga ternampak kereta tolak bayi melayang di udara.

Sekurang-kurangnya seorang dilanggar di luar sebuah gereja Anglican, di mana van itu berhenti di hadapan menara sebuah kondominium.

Beberapa mangsa dilanggar di dalam sebuah dataran awam yang popular dengan pekerja bersantai pada waktu rehat tengah hari.

Foto-foto dtempat kejadian yang disiarkan di media sosial menunjukkan sebuah trak makanan terletakkan hanya beberapa kaki jauhnya dari tempat petugas kecemasan memindahkan mangsa ke atas usungan.

[Baca berita penuh]

- Reuters