Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN letak lebih separuh muka baru di Perak
Diterbitkan:  Apr 24, 2018 11:00 AM
Dikemaskini: 5:51 AM

Barisan Nasional (BN) Perak menampilkan 32 calon muka baharu bagi 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh calon baharu untuk 24 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengumumkan senarai calon BN Perak di kediaman rasmi menteri besar, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata lapan penyandang daripada 31 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 digantikan dengan muka baharu.

Beliau berkata BN Perak menampilkan 13 calon wanita, iaitu 10 calon kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen.

“Pada PRU14, UMNO akan bertanding di 38 kerusi DUN, MCA (15), Gerakan dan MIC masing-masing tiga. Bagi kerusi Parlimen, UMNO akan bertanding di 13 kerusi, MCA (enam), Gerakan (tiga) dan MIC (dua).

“Calon yang dipilih adalah daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesional, pemimpin di peringkat akar umbi yang diperakui pucuk pimpinan,” katanya.

Zambry berkata 30.5 peratus calon BN Perak yang terpilih terdiri daripada kumpulan generasi muda bagi kerusi DUN dan 16.6 peratus bagi kerusi Parlimen.

“Gandingan ini kita harap akan dapat membentuk satu pasukan kerja yang mantap,” katanya.

Beliau berkata semua calon telah melalui proses rundingan di semua peringkat bermula di akar umbi dan diteliti di peringkat negeri yang kemudiannya diangkat di peringkat pucuk pimpinan parti, BN Perak meletakkan calon di semua 24 kawasan Parlimen dan 59 DUN.

“Calon-calon yang dikemukakan telah melalui proses saringan dan yang paling penting diterima baik oleh peringkat parti bermula daripada peringkat akar umbi serta diperakukan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya.

Zambry mengingatkan jentera parti penyokong dan pendukung BN supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon yang dinamakan.

“Kemenangan calon-calon ini adalah kemenangan parti. Kemenangan mereka ini bererti BN akan dapat meneruskan agenda memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Saya mengharapkan agar rakyat memberi sokongan kepada calon-calon BN kerana jika terpilih nanti mereka akan menjadi pasukan kerja BN yang sentiasa mendahulukan rakyat, mewujudkan Perak yang aman dan berjaya serta memastikan tiada yang tertinggal, tiada terpinggir,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Zambry akan bertanding di kerusi Parlimen Lumut selain mempertahankan kerusi DUN Pangkor pada PRU14.

Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan digugurkan daripada kerusi Parlimen Tanjung Malim dan digantikan Pengerusi MCA Perak Datuk Mah Hang Soon yang menyandang kerusi DUN Chenderiang.

Selain itu, bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah mempertahankan kerusi Parlimen Tambun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan kerusi Parlimen Larut manakala Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas.

Sementara itu, Presiden Gerakan yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil pada 2014.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong dicalonkan semula bagi kerusi Parlimen Kampar.

Selain itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S. K Devamany dicalonkan semula untuk kerusi Parlimen Sungai Siput, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri M. Saravanan akan mempertahankan kerusi Parlimen Tapah.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Shamsul Anuar Nasarah mempertahankan kerusi Parlimen Lenggong.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan merupakan antara muka baharu yang akan bertanding di kerusi Parlimen Parit Buntar.

Selain itu, dua penghulu merupakan calon baharu yang bertanding di kerusi DUN iaitu Mohamad Zuraimi Razali bagi kerusi Manong dan Shahrul Nizam Razali bagi kerusi Kuala Kurau.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Shahril Mohamed merupakan muka baharu yang akan bertanding bagi kerusi DUN Bota dan juga Pengerusi Gerakan Perak, Soo Kay Ping akan bertanding di kerusi DUN Aulong.

Bagi calon wanita pula, Ketua Wanita UMNO Perak Datuk Rusnah Kassim akan mempertahankan DUN Behrang, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie pula berpindah dari Parlimen Padang Serai, Kedah ke Parlimen Gopeng, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe beralih dari kerusi Parlimen Taiping ke kerusi DUN Jalong manakala Timbalan Ketua Wanita MIC, T. Thangarani merupakan calon baharu bagi kerusi DUN Buntong.

- Bernama

Lihat Komen
ADS