Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Laporan forensik Dr Fadi hanya untuk polis'

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan forensik kes Dr Fadi Mohammed Al Batsh, Imam dan pensyarah warga Palestin yang ditembak mati di Setapak, Kuala Lumpur Sabtu lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihak kementerian hanya bertanggungjawab menyediakan laporan forensik untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ini adalah kes polis, laporan itu adalah untuk polis dan kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menghadiri perasmian Institut Kanser Negara (IKN) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi Sabtu lepas, Fadi, 35, ditembak mati ketika berjalan ke surau dekat sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat Subuh.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata IKN yang mula beroperasi pada 2013 merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk menawarkan rawatan intensif yang berkualiti kepada penghidap kanser dengan kos yang lebih rendah.

"IKN satu-satunya pusat kanser yang dilengkapi dengan mesin 'Novalis' bernilai RM22 juta dan kos rawatan menggunakan mesin ini di hospital swasta adalah RM40,000 tetapi, di IKN, pesakit hanya perlu membayar RM12 untuk mendapatkan rawatan dan kos selebihnya akan disubsidi kerajaan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS