PRU14 l Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membidas penyebaran maklumat palsu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Sambil menuduh Pakatan Harapan sebagai dalang di sebalik dakwaan berkenaan, beliau melabelkan gabungan pembangkang itu sebagai "Tsunami PHitnah (fitnah)."

Najib mengeja "fitnah" dengan “PHitnah” bagi memaparkan huruf P dan H iaitu singkatan bagi Pakatan Harapan.

Dalam ciapannya di Twitter petang ini, beliau turut memaparkan foto yang mendakwa kononnya bahawa 15 juta sarung jari plastik diimport dari China supaya boleh mengundi banyak kali apabila jari telah dicelup dengan dakwat kekal.

“Ini bukan kali pertama saya post perkara ini, tapi di musim pilihan raya ini semakin teruk fitnah-fitnah dilontarkan pembangkang, bagaikan #TsunamiPHitnah.

“Jadi saya ingin ingatkan sekali lagi, usahlah kita jadi tali barut dan kuda tunggangan golongan tak bertanggungjawab ini,” tulisnya.

Perdana Menteri turut memberi amaran kepada rakyat supaya tidak menjadi ejen kerosakan dengan menyebarkan fitnah,” katanya.

Foto yang dipaparkannya juga mempunyai keterangan bahawa gambar tersebut bukannya sarung jari tetapi jari palsu bagi mereka yang terpotong jari terutama dalam kes gangster Yakuza di Jepun.

[Baca berita asal]