Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M umum cuti 10, 11 Mei jika HARAPAN menang
Diterbitkan:  Apr 24, 2018 5:47 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

PRU14 I Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 10 dan 11 Mei akan diisytiharkan sebagai cuti umum sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Saya tak suka cuti tapi saya sedar orang lain suka cuti. Tapi ini kali, ini kali sahajalah," kata bekas perdana menteri itu dalam taklimat kepada calon HARAPAN di Petaling Jaya malam tadi.

Memandangkan hari mengundi (Rabu, 9 Mei) diisytiharkan sebagai cuti umum, Mahathir berkata rakyat Malaysia akan berehat lima hari jika HARAPAN memenangi Putrajaya dengan mengambil kira cuti pada hujung minggu.

Cadangan agar HARAPAN mengisytiharkan 10 dan 11 Mei sebagai cuti umum sekiranya memenangi PRU14 kali pertama dicetuskan oleh Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata cuti tambahan itu bagi menggalakkan dan meyakinkan rakyat untuk pulang mengundi dan seterusnya menyambut 'kemenangan rakyat'.

Pakatan Harapan Perak turut berjanji mengisytiharkan cuti di negeri itu pada 10 dan 11 Mei sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 9 Mei sebagai hari mengundi dan 28 April sebagai hari penamaan calon.

Ketetapan hari bekerja sebagai hari mengundi menerima kritikan daripada pembangkang kerana didakwa menyukarkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Pada 11 April, lebih 100,000 menandatangani petisyen atas talian bagi memohon Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengisytiharkan 9 Mei sebagai cuti umum.

Susulan itu Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengisytiharkan hari tersebut sebagai hari kelepasan am di seluruh negara.

 

Lihat Komen
ADS