'Perikatan Keadilan' tidak akan cabar anak Kerk
PRU14 l Sekumpulan empat bekas wakil rakyat DAP yang berpaling tadah membatalkan rancangan mereka untuk meletakkan calon Bebas di DUN Ayer Keroh, tetapi sebaliknya menyatakan sokongan mereka kepada calon DAP, Kerk Chee.
Jurucakap kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Perikatan Keadilan', Sim Tong Him, berkata beberapa penyokong menggesa mereka supaya tidak menjejaskan peluang Kerk untuk menang.
"Dia adalah anak kawan kita, dan keturunan seorang lelaki yang setia dan baik. Kepada penyokong kami, sila undi Chee Yee," kata Sim (foto, bawah) ketika dihubungi.
Chee Yee, 25, adalah anak kepada Kerk Kim Hock, bekas setiausaha agung DAP dan penyokong DAP yang kuat. Kim Hock meninggal dunia tahun lalu akibat barah.
Perikatan Keadilan terdiri daripada Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him, ADUN Duyong Goh Leong San, ADUN Bachang Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong.
Keempat-empat mereka meletak jawatan dari DAP pada Februari tahun lalu, berikutan perselisihan yang berlarutan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung kawalan ke atas parti itu di Melaka.
Minggu lalu, mereka berikrar untuk bertanding di Kota Melaka, Kesidang, Kota Laksamana, Ayer Keroh dan Bandar Hilir sebagai calon Bebas pada pilihan raya ke-14 dengan menawarkan penduduk di negeri itu alternatif lain selain DAP dan BN.
Keempat-empat kerusi itu dimenangi oleh DAP pada tahun 2008 dan 2013 dengan majoriti besar.

