PRU14 l Penulis blog Papagomo sedia mempertimbangkan untuk bertanding di kerusi parlimen Pandan menentang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata dia mahu "mengajar" Wan Azizah dan keluarganya.

"Saya mempertimbangkan untuk bertanding di Pandan kerana saya hendak ajar Wan Azizah dan keluarganya.

"Mereka ini terlalu besar kepala dan ingat dunia politik tanah air kita hanya untuk mereka sekeluarga sahaja.

"Sistem demokrasi kita mereka liwat untuk kepentingan mereka. Suka-suka hati mereka tukar kerusi sana sini untuk ayah, emak dan anak," katanya.

Selain itu, Papagomo juga mendakwa Wan Azizah dan keluarganya mempergunakan rakyat ketika menjelang PRU.

"Mereka gunakan rakyat sebagai rubber stamp untuk cop mereka menjadi YB dan dapat elaun serta pelbagai kemudahan. Selepas itu mereka tinggalkan rakyat. Datang pilihan raya lain mereka tukar kerusi lain pula.

"Saya hendak tamatkan riwayat politik beliau di Pandan," katanya.

Awal hari ini, PKR mengesahkan Wan Azizah akan bertanding di parlimen Pandan sementara anaknya, Nurul Izzah Anwar akan bertanding di parlimen Permatang Pauh.

Penyandang kerusi parlimen Pandan ialah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang tidak akan bertanding kerana menghadapi kes mahkamah.

Nurul, yang merupakan anggota parlimen selama dua penggal di Lembah Pantai, akan menggantikan ibunya di Permatang Pauh, sebuah kerusi tradisi yang ditandingi anggota keluarganya selama beberapa dekad.

Sementara itu, ketika dihubungi, Papagomo, menjelaskan dia akan membawa isu dalaman PKR yang didakwa melibatkan Wan Azizah dan Nurul Izzah.

"Saya akan bawa isu dalaman PKR antara Wan Azizah, Nurul Izzah dengan skandal sampai bercerai serta isu lobi beberapa calon PKR yang diumum bayar Nurul Izzah dan Rafizi untuk  jadi calon PKR," katanya.

Ditanya sama ada dia akan bertanding sebagai calon bebas, Papagamo berkata: "Tunggu dan lihat."

Papagomo sebelum ini kalah dalam perbicaraannya apabila dia disaman Datuk Seri Anwar Ibrahim empat tahun lalu. Mahkamah mengarahkannya membayar RM951,260.27 kepada bekas timbalan perdana menteri itu.