Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berjalan-jalan dan pujian di pondok biru tua Kelantan

ULASAN | Sebaik pengumuman calon BN Kelantan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam, pelbagai kisah sayup-sayup kedengaran di sebalik tabir.

Ada yang terkilan namanya tidak terus diangkat sesudah hampir 30 tahun berkhidmat, ada yang menangis tak berlagu, ada yang tetap reda dan istiqamah.

Tidak kurang juga yang kecewa selepas melabur berbakul-bakul wang ringgit dan akhirnya tidak angkat menjadi calon.

Ini namanya politik dan parti, seperti iman tidak boleh diwarisi. Parti juga bukan pemilikan peribadi dan dalam mana-mana parti pun menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, acara kecewa-mengecewakan seumpama itu pasti berlaku.

Saya cuba berjalan-jalan ke pondok yang dipenuhi warna bendera biru tua dan cuba menyatakan pujian sesudah BN mengenal pasti calon-colon mereka dan cuba melihat apa yang boleh dipuji dalam gerak kerja mereka.

Tanah Serendah Sekebun Bunga

Aktiviti mempersiapkan markas mula rancak di samping acara pacak dan kibar bendera di sana-sini.

Seperti kebiasaannya, Tanah Serendah Sekebun Bunga ini sentiasa meriah dalam persaingan memasang bendera parti dengan pelbagai kreativiti termasuklah jentera BN, tetapi bukan itu yang saya mahu jadikan pujian untuk BN Kelantan.

Kita boleh lihat bagaimana BN mempamerkan solidariti selepas pengumuman calon semalam.

Yang jelas menyatakan kekecewaan hanya penyandang anggota dewan undangan negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah (gambar), yang tidak dicalonkan semula, ketidakpuasan hati sebahagian ahli di Gua Musang dan selebihnya hanya geger seketika di kalangan mereka.

BN Kelantan dalam fasa prapenamaan calon ini menunjukkan sikap positif dengan kematangan berpolitik walaupun kebarangkalian gunting dalam lipatan itu wujud.

Dengan semangat "Team Tok Pa" dijadikan sandaran, saya memilih untuk meramalkan betapa acara 'cah keting' yang sebelum ini sinonim dengan BN tidaklah berlaku dengan begitu ketara.

Dan itulah cabaran hakiki BN sejak turun-temurun di Kelantan.

Sehabis majlis pengumuman calon di Pejabat Umno Kelantan di Kota Bharu, semalam, agak ramai ahli-ahli BN berkumpul di pekarangan bangunan. Sebagai pengamal media saya perhatikan tindak-tanduk dan perbualan sebahagian mereka.

Risau juga jika ada protes, namun itu tidak berlaku (walaupun ada desas-desus mengatakan kemungkinan itu berlaku) sehinggalah masing-masing bersurai, tetapi bukan itu sebab saya mahu puji BN Kelantan.

Dalam aspek cabaran, BN Kelantan sudah maklum dengan pendekatan 'politik matang dan sejahtera' yang diketengahkan seteru lama mereka yakni parti PAS.

Jadi, cabaran untuk berdepan tohmahan jahat, keji, buruk, atau berbaur fitnah daripada PAS tidak perlu difikirkan jentera BN. Mereka perlu yakin politik matang dan sejahtera tidak menerapkan unsur-unsur sedemikian.

BN mungkin hanya berdepan dengan ayat-ayat berbaur dakwaan daripada musuh lain, yang tidak amalkan politik matang dan sejahtera.

Di situ nampak ada keberuntungan berpihak kepada BN Kelantan, tetapi bukan itu sebab saya mahu puji BN Kelantan.

Hari ini BN Kelantan menggambarkan betapa mereka boleh menang dan mengambil alih pemerintahan negeri pada 10 Mei akan datang.

Seorang pimpinan Umno Kelantan menegaskan sejarah yang dicipta mereka pada 1978 bakal berulang dan PAS akan berputih mata seperti 40 tahun lalu.

BN Kelantan juga sudah menyediakan manifesto terbaik sepanjang terlibat dalam pilihan raya di negeri ini, apa saja perkara yang diharamkan oleh kerajaan PAS tetap akan diharamkan jika mereka menang nanti.

Tetap tidak ada rumah judi berlesen, tetap tidak ada kedai nombor ekor, malah manifesto BN Kelantan juga menegaskan mahu meningkatkan lagi syiar Islam, tetapi bukan itu sebab saya mahu puji BN Kelantan.

Sesudah 28 tahun gagal merampas Kelantan, usaha keras BN untuk memecah kebuntuan masa silam mungkin boleh dipuji lebih-lebih lagi ketika pelbagai hentaman terpacak ke batang tubuh mereka.

Gelombang kuat pengaruh pembangkang di peringkat nasional nampaknya tidak dihiraukan pimpinan BN Kelantan.

Ketiadaan bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, perpecahan agak ketara dan prestasi semasa kerajaan Kelantan akan mengurangkan impak sokongan kepada PAS sekali gus mungkin menghasilkan sesuatu untuk BN walaupun dilihat tidak mungkin sekali pun.

BN Kelantan sudah kuat, namun kekuatan itu muncul ketika gelombang pembangkang begitu sukar ditangkis dan sebebihnya mereka hanya perlu bertabah.

 



N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS