Cabang PKR Wangsa Maju mahu kepimpinan parti untuk mempertimbangkan keputusan mereka dalam menamakan calon baru untuk kerusi Parlimen Wangsa Maju.
Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pemuda (AMK) Wangsa Maju, Azmee Abd Rahim berkata cabang itu telah mencadangkan dua nama - penyandang Datuk Dr Tan Kee Kwong dan timbalan ketua bahagian Dr Ramzan Abdul Ghafoor Khan - tetapi mereka tidak dipilih.
Azmee berkata jika kepimpinan parti menolak kedua-dua calon berkenaan, mereka sepatutnya meminta nama lain dari cabang PKR Wangsa Maju.
“Saya berharap pimpinan tertinggi parti menghormati suara akar umbi. Seperti mana akar umbi menghormati demokrasi parti.
“Laungan reformasi bergema dari suara akar umbi. Alangkah indah juga suara dan hasrat kami didengari oleh pimpinan,” katanya.
Azmee berkata kesihatan Kee Kwong bukan masalah dan menyifatkan beliau lebih muda daripada calon yang dipilih oleh kepimpinan parti iaitu Datuk Tan Yee Kew.
Beliau berhujah bahawa gandingan Kee Kwong dan Ramzan sudah pun membentuk pasukan yang mantap dan diterima oleh masyarakat setempat.
Yee Kew adalah bekas ahli Parlimen Klang dan setiausaha parlimen sehingga 2008 apabila beliau menyertai PKR.
Secara kebetulan, terdapat spekulasi bahawa rasa tidak puas hati juga dilaporkan di kem BN kerana anggota Umno bahagian Wangsa Maju kecewa bahawa kerusi berkenaan diserahkan kepada MCA.
Wangsa Maju menjadi milik PKR sejak tahun 2008. Kali ini, pertandingan adalah antara Yee Kew, calon BN, Yew Teong Look dan Razali Tumiran dari PAS.
