Ezam tak jadi tanding Shah Alam
Bekas senator Datuk Ezam Mohd Nor tidak akan bertanding di Shah Alam seperti diumumkan Januari lalu.
Katanya, keputusan itu kerana tidak mahu menguntungkan Umno.
“Sebelum persempadanan semula Umno tiada peluang menang. Dan tiada risiko Umno menang walaupun HISBAH bertanding.
“Sekarang dengan adanya risiko Umno menang, kami tarik diri kerana tidak mahu membuka lagi peluang untuk kemenangan Umno,” katanya.
Beliau mendedahkan perkara sama berbangkit dalam pertemuannya dengan 'pesaing' lama Datuk Seri Azmin Ali di pejabat menteri besar di Shah Alam.
Azmin juga, katanya, mencadangkan beliau dan HISBAH sebagai NGO dipimpinnya membatalkan hasrat itu.
Sementara itu, Ezam memberitahu Malaysiakini, keutamaan dalam pilihan raya 9 Mei ini adalah bagi memastikan Umno kalah.
“Itu sahaja caranya pada masa ini untuk menghentikan kejahatan kecurian wang negara dari terus berleluasa,” katanya.
Pada 2016, Ezam keluar Umno buat kali kedua selepas menganggap parti itu bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak lagi serius dalam perjuangan menentang rasuah.
Kerusi Shah Alam kini disandang oleh pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad yang memenangi menggunakan logo parti lama PAS.
PAS meletakkan pemimpin kanannya Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

