Tunggu lepas PRU14, kata Kayveas
PRU14 | Bekas presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas hari ini berkata beliau akan menjelaskan semua dakwaan yang dikaitkan dengan dirinya selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 berakhir bulan depan.
Menjelaskan keadaan itu Kayveas berkata beliau bukannya mengelak daripada media untuk memberikan komen terhadap perkembangan yang berlaku hari ini.
Kata bekas timbalan menteri itu beliau akan mengadakan sidang media selepas PRU ke-14 ini.
"Jadi fokus akan terarah kepada PRU. Ia sepatutnya menjadi keutamaan berbanding lalat yang datang hinggap di tangan saja," ciapnya di Twitter.
To all media calling me for response, not that I don't want to say anything. I will do a PC after PRU14. So that focus will be on the elections. That should take priority over this fly which came to sit on my hand.
— MKayveas (@m_kayveas) April 25, 2018
Terdahulu Kayveas mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai presiden MyPPP. Bekas anggota parlimen Taiping itu turut melepaskan jawatannya pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan serta penasihat kerajaan Perak.
Peletakan jawatan itu kata Kayveas berkuat kuasa Isnin lalu.
Sejurus kemudian Setiausaha Agung MyPPP Mohan Kandasamy menjelaskan parti itu memecat Kayveas selepas lembaga disiplin parti itu bermesyuarat malam tadi.
"Berikutan mesyuarat lembaga disiplin malam tadi, keputusan adalah untuk memecat Kayveas sebagai presiden dan ahli MyPPP dengan segera.
"Kami tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan (Kayveas)," katanya.
Mahu Cameron Highlands
Timbalan Setiausaha Agung MyPPP Datuk Simon Sabapathy pula berkata mereka menerima surat daripada Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengarahkan supaya tindakan disiplin diambil terhadap Kayveas.
Katanya surat Tengku Adnan bertarikh 24 April itu memberi bayangan bahawa MyPPP boleh "diarahkan untuk meninggalkan BN."
Kayveas menjadi presiden MyPPP pada 1993 selepas berlaku perebutan kuasa berpanjangan dalam parti berkenaan.
Beliau mengetuai parti itu - sebelum ini dinamakan sebagai Parti Progresif Rakyat (PPP) - sehingga 25 tahun kemudian dan menjadi anggota Dewan Rakyat pada 2004.
Sejak itu Kayveas cuba menjadikan MyPPP mempunyai peranan lebih besar dalam BN dan akhirnya diberi lima kerusi untuk ditandingi pada PRU 2013.
Untuk PRU pada 9 Mei ini MyPPP diperuntukkan hanya satu kerusi - iaitu Segambut - berbanding Cameron Highlands yang diidam-idamkan mereka sebelum ini.

