Pembabitan 1MDB dengan masyarakat dapat sambutan positif
Pembabitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan masyarakat di seluruh negara secara berterusan, menerima sambutan positif.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Arul Kanda berkata acara yang beliau diundang bercakap itu, merupakan kempen proaktif bagi menjelaskan isu-isu berkaitan syarikat berkenaan, memandangkan semua rakyat Malaysia merupakan pemegang kepentingan.
“Apa yang bermula atas permintaan untuk saya mengambil bahagian dalam program ini. kini menjadi 'tsunami' dalam tempoh enam bulan lalu, apabila pembangkang merancakkan kempen mengelirukan dan berniat jahat dengan memberikan maklumat salah," katanya kepada Straits Times pada Isnin.
Arul sebelum ini menegaskan bahawa pengkritik kerajaan dan ahli politik pembangkang mempolitikkan urusan perniagaan syarikat itu untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Sepanjang enam minggu lepas, beliau muncul di hadapan hampir 30,000 orang dari semua lapisan masyarakat, menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penjelasan dan menafikan dakwaan penipuan dalam syarikat.
Arul berkata penduduk di kawasan luar terpencil seperti Benta (Pahang) dan Pasir Puteh (Kelantan) bertubi-tubi menyoal beliau lebih dua jam.
"Anda akan terkejut. Pak Cik dan Mak Cik akan bertanya, 'Bolehkan syarikat itu membayar hutangnya, di manakah sumber wang itu?', yang benar-benar menunjukkan pemahaman mereka yang mendalam terhadap perkara itu.
"Jika mereka tidak berpuas hati, mereka biasanya akan bertanyakan soalan susulan," katanya.
Misi Arul Kanda jelas, bahawa beliau tidak mempertahankan sesiapa dan menyifatkan tugasnya, sebagai CEO, adalah untuk menerangkan sudut pandang syarikat itu.
"Kami membiarkan orang untuk mendapatkan maklumat dan bertanya sendiri secara terbuka dalam forum awam.
"Akhirnya, rakyat akan memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan fakta-fakta ini dan membuat keputusan," katanya.
Sehingga ini, 25 pertemuan di seluruh negara sudah diselesaikan dan kini sedozen lagi akan dilakukan dalam tempoh beberapa minggu ini.
- Bernama

