PSM tetap pertahankan Parlimen Sg Siput
PRU14 l PSM memutuskan akan kekal bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput, selepas sebelum ini mempertimbangkan untuk menarik diri.
Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj memberitahu Malaysiakini bahawa anggota cawangan mempertimbangkan kemungkinan menarik diri selepas pengesahan semalam bahawa Pakatan Harapan akan turut bertanding di kerusi berkenaan.
Pengumuman semalam itu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara PSM, BN, HARAPAN dan PAS.
Jeyakumar berkata anggota parti itu pada mulanya merasakan bahawa tidak ada guna mempertahankan Sungai Siput dalam pertandingan pelbagai penjuru kerana PSM bukan lagi mewakili gabungan pembangkang kali ini.
PSM menang di kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 dan 2013 kerana mereka adalah sebahagian daripada gabungan parti pembangkang ketika itu.
"Selepas perbincangan di cawangan dan bahagian, keputusanya adalah untuk kita meneruskan dan mempertahankan kerusi itu.
"Sebabnya, jika kita tunduk kepada pembuli, pada masa depan PSM akan berterusan menjadi mangsa buli,” katanya.
PSM berulang-kali merayu kepada HARAPAN agar memberi laluan kepada mereka di Sungai Siput dan seterusnya, mereka berikrar akan menyokong gabungan pembangkang itu jika mereka membentuk kerajaan persekutuan.
Walau bagaimanapun, PSM mendakwa bahawa HARAPAN cuma berhubungan secara tidak rasmi dan tidak mahu berkompromi.
Jeyakumar mengakui bahawa peluang PSM untuk mengekalkan Sungai Siput untuk penggal ketiga kali ini adalah sangat tipis, kerana mereka tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan pembangkang utama.
Beliau berkata penyokong DAP dan PAS mengundi PSM pada pilihan raya umum lalu, dan kemungkinan besar akan mengundi calon HARAPAN atau PAS pada kali ini. Pada 2013, PSM mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,700 undi.
Selain Sungai Siput, PSM mengesahkan bahawa parti itu akan meletakkan sekurang-kurangnya empat lagi calon untuk kerusi parlimen dan 12 kerusi negeri.

