Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS pindahkan Zouk jika menang di Titiwangsa
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 5:11 PM
Dikemaskini: Apr 26, 2018 3:17 AM

PRU14 l Kelab hiburan terkemuka, Zouk di ibu negara bakal dipindahkan dari Parlimen Titiwangsa jika calon PAS, Mohamad Noor Mohamad menang di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.

Portal Berita Harian Online memetik Mohamad Noor sebagai berkata, tindakan itu bagi menangani isu gejala sosial dan kesesakan lalu lintas.

"Dari jam 10 malam ke atas, kita boleh lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk dan lebih menyedihkan apabila melihat segelintirnya adalah orang Islam turut berhibur di kawasan itu.

"Statistik menunjukkan sebanyak 71 peratus pengundi Melayu daripada 65,000 pengundi keseluruhan di Parlimen Titiwangsa.

"Sewajarnya, ia dipindahkan ke kawasan yang majoriti masyarakat bukan Islam seperti Bukit Bintang atau lain-lain lokasi yang sesuai khusus untuk berhibur," katanya yang merangkap pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Menurut Mohamad Noor, pusat hiburan berkenaan dibangunkan tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam serta tiada perbincangan dengan wakil penduduk sebelum ia diluluskan.

Beliau juga menyatakan keyakinan sebanyak 60 peratus undi daripada pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang pada PRU-14.

"Ini kerana isu kegagalan kedua-dua parti lawan menangani masalah dalaman seperti pemilihan calon yang dikatakan bukan pilihan rakyat serta perebutan kerusi sehingga ada yang sanggup letak jawatan.

"Kepincangan kedua-dua parti lawan berkenaan memberi laluan mudah kepada PAS yang dilihat berjaya melaksanakan politik matang, sejahtera serta telus tanpa sebarang isu rasuah dan ketirisan," katanya.

Selain Mohamad Noor, calon HARAPAN dari BERSATU, Rina Mohd Harun dan calon BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga menteri kewangan II dijangkakan bertanding di Titiwangsa.

Parlimen Titiwangsa pernah dimenangi PAS pada PRU-12 menerusi Allahyarhamah Dr Lo'Lo' Ghazali sebelum kembali ke tangan BN pada PRU lalu.

Lihat Komen
ADS