Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Syaitan mana punya suara fitnah Rosmah'
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 6:05 PM
Dikemaskini: 4:36 PM

Pembantu khas isteri perdana menteri sementara Datuk Rizal Mansor mengeluarkan suatu kenyataan hari ini bagi menjawab dakwaan klip audio yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

"Saya telah mendapat satu klip audio yang disebarkan melalui Whatsapp.

"Tidak tahu la syaitan mana yang punya suara, tapi saya tidak hairan kerana setiap kali tiba musim pilihan raya, semakin ramai syaitan-syaitan yang keluar membuat fitnah," kata Rizal dalam suatu hantaran di media sosial.

Empunya suara dalam klip audio itu mendakwa mendapat maklumat daripada temannya yang bekerja di kementerian kewangan.

"Saya bukannya anti Umno atau BN tapi benci dengan kepimpinan dia orang yang terlalu corruption yang terlalu membazir.

Dakwa dua CCTV kos RM7 juta

"Saya berumur 31 tahun dan berkawan dengan orang berkerjaya, salah seorang kawan saya sekarang bekerja di kementerian kewangan.

"Awak tahu dia bekerja di bahagian e-perolehan, bahagian sistem kerajaan duit keluar masuk," dakwa empunya suara itu.

Rizal menjawab satu-persatu dakwaan dalam klip audio itu yang antaranya mendakwa sepinggan kek hari jadi Rosmah berharga RM75,000 dan dua buah CCTV di bilik Rosmah di Putrajaya memakan belanja RM7 juta.

"Kek hari jadi apa yang berharga RM75,000? Kalau ada boleh tunjuk dekat saya, di mana ia dibeli?" Soal Rizal.

Rizal juga mempertahankan Rosmah yang didakwa empunya suara dalam klip audio itu sebagai isteri perdana menteri pertama yang memiliki pejabat di Putrajaya.

"Datin Seri Rosmah bukan isteri perdana menteri pertama yang ada pejabat di Putrajaya.

"Tetapi dia adalah isteri perdana menteri pertama yang tidak mempunyai pejabat di Putrajaya," kata Rizal.

Empunya suara itu turut mendakwa kos memasang CCTV di bilik Rosmah itu memakan belanja perbendaharaan kerajaan sebanyak RM7 juta.

"Pasang CCTV dua biji dekat bilik dia. Dia satu-satunya isteri perdana menteri yang ada bilik di Putrajaya, tahu dia claim berapa?

"CCTV jer pun, RM7 juta pembaziran yang amat dan terlalu berfoya-foya. Ini kerajaan yang zalim," dakwa empunya suara.

Empunya suara tampil ke depan

Bagaimanapun, Rizal menafikan dakwaan mengenai CCTV di bilik Rosmah itu.

"Dua buah CCTV berharga RM7 juta?

"Seperti yang saya nyatakan, Datin Sri Rosmah tidak ada pejabat di MOF ataupun PMO, jadi CCTV yang dia sebut ni pasang di pejabat mana?" Jelas Rizal.

Pegawai Rosmah juga mencabar pemilik suara tersebut untuk tampil membuat tuduhan secara terbuka.

"Saya mencabar tuan empunya suara dapat tampil ke depan dan buat tuduhan secara terbuka.

"Jangan jadi bacul dan penakut untuk buat fitnah menggunakan Whatsapp," kata Rizal yang berkata pihaknya akan membuat laporan pada SKMM mengenai perkara itu.

Lihat Komen
ADS