Kerajaan diminta mengambil alih tanggungjawab perunding Project Management Consultants (PMC) bagi mengatasi masalah kelewatan pembayaran projek-projek pembangunan yang telah siap.

Ketika membuat gesaan itu, Persatuan Kontraktor Wibawa (GBC) Perak berkata, masalah kelewatan pembayaran yang berlarutan sehingga empat tahun kebanyakannya berpunca daripada kelemahan para perunding yang dilantik oleh Kementerian Kewangan.

"Kita percaya masalah itu dapat diatasi jika tugas berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR)," kata Presiden GBC, Megat Ahmad Sharani Megat Sharudin kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa GBC Ipoh malam tadi.

Beliau mengulas mengenai masalah yang dihadapi lebih 100 kontraktor Kelas A di seluruh negara yang "tenat" kerana menunggu pembayaran kira-kira RM500 juta bagi projek-projek yang telah siap dalam tempoh empat tahun lalu.

Sebagai contoh, katanya, 10 projek Kementerian Pelajaran telah disiapkan oleh ahli GBC Perak tetapi disebabkan kelemahan perunding, pembayaran akhir antara RM4 juta hingga RM5 juta, masih tertangguh.

"Para perunding yang dilantik didapati tidak berpengalaman dalam prosedur kerja kerajaan...apabila PMC tak perform (menunjukkan prestasi yang baik) kontaktor yang jadi mangsa," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, pembayaran tidak dapat dibuat oleh kementerian-kementerian berkenaan atau Perbendaharaan kerana kebanyakan PMC tidak mampu mengemukakan laporan akhir projek.

Projek baru

"Jikapun kerajaan bersedia mengarahkan pembayaran secara segera, ia juga tidak mungkin dapat dilakukan kerana prosedur tetap memerlukan laporan berkenaan dikemukakan," ujarnya.

Megat Ahmad Shahrani berkata, hanya JKR yamg mampu mengambil alih tanggung jawab itu kerana ia mempunyai pengalaman, kepakaran dan tenaga kerja yang mencukupi.

"Saya tidak nampak bagaimanapun kemelut ini boleh berakhir selagi PMC diberi tanggungjawab kerana ada syarikat PMC didapati tidak lagi berfungsi dengan tenaga pekerja yang terhad," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan memberi projek-projek baru kepada para kontraktor yang "tenat" sebagai satu langkah menyelamatkan mereka daripada menanggung kerugian dan mungkin terpaksa gulung tikar.

Katanya, kelewatan pembayaran membebankan para kontraktor yang juga terpaksa membayar cukai, gaji pekerja dan bayaran kepada pembekal.

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia sebelum ini meminta kerajaan segera menyelesaikan masalah berkenaan kerana sebahagian daripada kontraktor yang terbabit mungkin terpaksa gulung tikar jika pembayaran tidak dibuat dalam masa terdekat.