Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 l Pimpinan PKR Kelantan menyeru anggotanya yang tidak dipilih sebagai calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berlapang dada dan istiqamah menerima keputusan kepimpinan tertinggi.

Pengarah Komunikasi PKR Negeri, Mohd Sukirman Mustafa berkata, mereka yang tidak dicalonkan bukanlah tidak layak, namun masih ada tugasan lain yang perlu dilaksanakan dalam parti selepas ini.

Katanya, semua pihak terutamanya penyokong parti itu perlu terus istiqamah dan meneruskan perjuangan parti demi kebaikan rakyat.

"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PKR, teruskan bersama kami. Ini merupakan pilihan raya paling genting.

"Semua pihak perlu ketepikan perbezaan dan perlu berlapang dada dengan segala keputusan pemilihan calon yang dibuat," kata Sukirman (gambar) dalam kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ura-ura terjadi kemelut dalam PKR berhubung senarai calon PRU14.

PKR didakwa berdepan kemelut dalaman melibatkan perbezaan dua kem iaitu Rafizi Ramli dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga ia memberi kesan ke peringkat negeri.

Bagaimanapun terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujudnya kem-kem tertentu dalam parti itu.

"Bagi kami, hanya ada satu kem - kem saya," kata Azizah pada sidang media selepas taklimat calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Petaling Jaya semalam.

Mengulas isu tersebut, Sukirman menafikan wujud perbezaan yang sama di Kelantan dan yakin ahli serta penyokong PKR di negeri ini sentiasa berpegang teguh dengan kepimpinan pusat dalam menentukan sebarang keputusan melibatkan parti itu.

Ketepi ketidaksefahaman buat sementara

Justeru katanya, mana-mana ahli yang dipilih menjadi calon itu juga perlu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin memandangkan ia adalah amanah rakyat dan parti itu sendiri.

"Malah kesatuan antara calon dan bukan calon adalah amat penting bagi memastikan PKR mempunyai satu pasukan mantap untuk berdepan pejuang-pejuang dan pihak lawan dalam PRU kali ini.

"Semua pihak perlu bersatu, ketepikan ketidaksefahaman buat sementara. Teruskan sokongan kita, jangan ada pihak yang boikot untuk menjatuhkan calon mahupun parti kita sendiri.

“Ini sangat penting bagi memastikan sembilan dun dan dua parlimen yang akan dipertandingkan nanti mendapat kemenangan dan membawa kebaikan kepada seluruh masyarakat. saya yakin dan optimis, penyokong akan sentiasa bersama jika masing-masing terbuka dan melihat ke hadapan," katanya.

Lihat Komen
ADS