Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: HARAPAN belum putuskan calon MB Kedah
Diterbitkan:  Apr 26, 2018 12:17 AM
Dikemaskini: Apr 26, 2018 3:12 AM

PRU14 l  Pakatan Harapan (HARAPAN) Kedah masih belum memutuskan calon berpotensi yang boleh menjadi menteri besar Kedah sekiranya HARAPAN menang di negeri itu, kata Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Belum lagi," jawab beliau ringkas ketika ditanya jika terdapat senarai pendek bagi calon menteri besar itu, berdasarkan rakaman sidang media di Dataran Stargate, Alor Setar, hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri ceramah HARAPAN di sana untuk memperkenalkan calon gabungan itu di Kedah.

Manakala itu, Muhkriz yang pernah menjawat menteri besar Kedah dari 2013 hingga 2016 menyifatkan manifesto BN Kedah sebagai janji pilihan raya yang tidak boleh dipercayai.

BN Kedah dilaporkan melancarkan manifesto itu pada 20 April lalu yang menjanjikan projek dan program bernilai RM65.3 bilion, termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim menjadi lapangan terbang antarabangsa, pusat rawatan kanser di Sungai Petani dan projek Rubber City Kedah yang bakal menyediakan 15,000 pekerjaan.

'BN menang PRU, BN naik GST'

Mukhriz berkata hasil negeri tidak pernah melebihi RM700 juta setahun, justeru janji manifesto itu akan mengambil sekurang-kurangnya 95 peratus hasil negeri untuk kos pembiayaannya.

"Jadi ini pembohongan. Jangan percaya, tuan-tuan dan puan-puan. Ini bukan datangnya dari orang yang cakap-cakap dia boleh dipercayai. Jadi saya menyeru dengan tuan-tuan dan puan-puan, kita kena faham apa yang sebenar, apa yang palsu," katanya.

Beliau turut menyemak janji pilihan raya perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak dan mendakwa manifesto tersebut menelan belanja sebanyak RM10 bilion.

Mukhriz berkata hal ini memandangkan kerajaan kelihatan kurang dana, lantas beliau mempersoalkan manifesto tersebut.

Beliau memberi amaran kepada para pengundi kerajaan yang diketuai BN akan menaikkan kadar GST selepas pilihan raya dan menggesa mereka memilih HARAPAN yang sebaliknya berjanji memansuhkan cukai GST.

Beliau juga berjanji untuk mengulangi kejayaan Kulim Hi-Tech Park, yang menurut beliau merupakan idea bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1996 dan kini berupaya menyediakan 26,000 pekerjaan, 95 peratus daripadanya dimiliki oleh rakyat Malaysia dan membayar gaji purata RM6,800.

“Itulah jenis pembangunan yang kita mahu. Bukan jenis pelaburan di mana bidang-bidang tanah kita dijual kepada warga asing,” katanya lagi.

 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS