Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 l Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang beranggapan pertukaran kerusi antara calon PAS Kelantan sebagai perkara biasa malah turut berlaku dengan jarak lebih jauh oleh parti lawan.

Merujuk kepada perpindahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dari parlimen Pasir Mas ke Bachok katanya, ahli jawatankuasa PAS pusat itu turut mempunyai pengaruh dan sokongan di kedua-dua parlimen itu.

"Itu biasa, Nik Abduh ada sokongan di Pasir Mas dan Bachok, kita masih anggap beliau berpengaruh ada keluarga di kedua-dua kawasan.

"Presiden PKR pun pindah lagi jauh dari tempat dia," katanya merujuk kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi calon di Parlimen Pandan dan meninggalkan Permatang Pauh.

Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pengisytiharan Calon PAS Kelantan PRU14 di Kota Bharu, malam tadi.

Mengulas mengenai senarai calon tersebut katanya ia dibuat dengan mengambil kira pengalaman selama lebih 20 tahun PAS memerintah negeri itu.

Katanya, terdapat gabungan calon muka baru dan lama serta pertukaran antara Dewan Undangan Negeri (DUN) ke parlimen atau sebaliknya.

"Itu biasa, untuk mengukuhkan keadaan dan pengaruh rakyat.

"Yang digugurkan itu ada peranannya, gugur daripada calon, tidak semestinya gugur daripada peranan.

"Saya sebut tadi kehadiran (calon) teknokrat bukan setakat kepakaran, tetapi pengalaman yang ada pada calon itu diambil kira," katanya.

Lihat Komen
ADS