Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga Muar alu-alukan cadangan HARAPAN mansuh GST

TINJAUAN l Rancangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memansuhkan GST jika ia menang pada pilihan raya kali ini dikritik secara meluas, bukan saja oleh BN, tetapi sebahagian pakar ekonomi yang merasakan ia bukan satu langkah yang baik.

Selain mengurangkan dana bagi perbelanjaan kerajaan, timbul juga keraguan sama ada langkah kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan benar-benar menurunkan harga barang.

Di tengah-tengah kesibukan pasar malam Uptown di Muar, Johor, sekumpulan peniaga yakin cadangan memansuhkan GST sememangnya wajar dipertimbangkan.

Antaranya Istisyam Abu Samad, 39, yang menjual air minuman dan pakaian wanita.

Istisyam sudah berniaga di Muar, atau nama rasminya Bandar Maharani, kira-kira sedekad. Perniagaannya menerima kesan susulan pelaksanaan GST.

Sama seperti beberapa peniaga yang ditemui Malaysiakini, Istisyam berkata keuntungannya merosot dengan banyak sejak dua tahun lalu, memaksanya mengecilkan perniagaan pakaiannya.

"Jualan memang jatuh, kadang-kadang satu hari tiada jualan langsung," katanya (gambar).

Seorang penjual pakaian yang hanya mahu dikenali sebagai Alif pula berkata keuntungannya merosot lebih 50 peratus.

"Dulu satu malam sayaboleh dapat sekitar RM500-RM600, sekarang kurang daripada RM200," kata pemuda berusia 30 tahun itu sambil memasang reruainya.

Untung kurang, belanja kurang

Menurut peniaga GST memberikan dua kesan terhadap jualan dan keuntungan mereka.

Pertama, kata mereka, cukai itu telah meningkatkan kos. Tetapi, seperti yang dijelaskan Mohd Salahuddin Hamid, kebanyakan peniaga keberatan untuk menaikkan harga kerana takut jualan berkurang.

"Tekanan sekarang (disebabkan) barang yang kami dapat terlalu mahal. Jika naikkan harga orang tidak beli, jadi kami kekalkannya dan kecilkan keuntungan," katanya (gambar) yang menjual pakaian di situ.

Cukai enam peratus itu juga menjadikan pelanggan kurang berbelanja.

Juruteknik kilang, Hazmi Ismail merupakan pelanggan tetap pasar malam Muar. Namun ketika ditemui Malaysiakini, lelaki berusia 43 tahun itu hanya meninjau-ninjau dan tidak membeli apa-apa.

"Keadaan agak sukar sekarang, belanja bulanan meningkat kerana GST. Sekarang saya lebih berkira-kira sebelum membeli apa-apa, jika perlu baru beli," kata bapa kepada tiga anak itu.

Seperti di tempat-tempat lain, rungutan tentang kuasa beli yang berkurang ini biasa di Muar walaupun kos sara hidup di situ boleh dianggap rendah.

Bulan lalu, Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata golongan bujang yang tinggal di kawasan separa bandar boleh hidup selesa dengan gaji RM2,700 sebulan.

Antara faktornya adalah sewa dan kos sara hidup yang agak rendah. Beberapa belia yang ditemui Malaysiakini berkata sewa rumah mereka antara RM300 hingga RM500.

Bayaran pinjaman perumahan juga rendah. Hazmi membayar RM800 sebulan untuk rumahnya.

Kekal berjimat

Bagaimanapun kedua-dua peniaga dan pelanggan tetap merasakan kesannya dan lebih cenderung untuk berjimat-cermat.

"Saya memang kurang berbelanja dan gunakannya untuk petrol yang makin lama makin naik," kata Istisyam.

Dengan faktor ekonomi seperti ini, langkah pemansuhan GST sangat menarik buat peniaga.

Mohd Salahuddin tidak pasti pemansuhan GST akan menggalakkan lebih ramai untuk berbelanja, tetapi baginya langkah itu berbaloi untuk dicuba.

"Tak pasti sama ada akan berjaya 100 peratus, tetapi kami rasa nak cuba (berniaga tanpa GST)...peniaga lebih suka (jika tiada GST)," katanya.

Susulan pelancaran manifesto HARAPAN, penyelidik Centre for Public Policy Studies (CPPS) Lau Zheng Zhou berkata pemansuhan GST tidak akan mengurangkan harga secara terus, terutama kerana ia akan digantikan dengan SST.

"SST dikenakan kepada pengeluar. Apabila anda mengenakan kos kepada perniagaan, peniaga akan memindahkannya kepada pelanggan.

"Pemansuhan GST tidak akan secara automatik menyebabkan harga lebih rendah kerana harga cenderung untuk kekal," katanya lagi.


 

Lihat Komen
ADS