BN P Pinang sasar 8 kerusi 'kurang selamat' HARAPAN - Guan Eng
PRU14 | BN Pulau Pinang menyasarkan lapan kerusi Pakatan Harapan yang mereka anggap "kurang selamat" bagi gabungan pembangkang itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Lim berkata jika HARAPAN hendak memenuhi 68 janji pilihan raya yang dilancarkan di Pulau Pinang malam tadi, gabungan itu perlu menang dengan lebih banyak kerusi dan menyelamatkan lapan kerusi itu.
Menurutnya, BN menyasarkan lapan kerusi HARAPAN yang dianggap kurang selamat bagi gabungan pembangkang itu, "jadi kita perlu menang lima lagi kerusi negeri (dari BN) dan tiga lagi kerusi parlimen mereka."
Namun, tegasnya, tidak ada kemenangan pasti, "hanya bekerja keras jika kita mahu menang".
Lim akan bertanding di Parlimen Bagan dan DUN Air Putih.
Lim kemudian berkata pihak lawannya di BN menyedari tentang kerusi gabungan itu yang kurang selamat yang disasarkan dalam pilihan raya ke-14 akan datang.
"Kami juga tahu kerusi mana yang kurang selamat, dan sedang disasarkan oleh BN," katanya selepas melancarkan manifesto HARAPAN negeri di Dewan Perbandaran Cina Pulau Pinang malam tadi.
Pada tahun 2013, Pakatan Rakyat sebelum ini memenangi 30 kerusi - DAP (19), PKR (10), dan PAS (1). Umno hanya memenangi 10 kerusi manakala Gerakan, MCA dan MCI gagal memenangi sebarang kerusi.
Daripada 13 kerusi parlimen, Umno menang tiga, manakala DAP tujuh dan PKR tiga.
Pilihan raya tahun ini, BN, Harapan dan PAS bertanding 13 parlimen dan 40 kerusi negeri.
Semua kerusi itu dijangka berdepan pertandingan banyak penjuru dengan penyertaan parti seperti PSM, PRM, Parti Cinta Malaysia, Penang Front Party dan Malaysian United Party.

