Selepas hampir satu dekad 1MDB dilanda pelbagai masalah Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan pengalaman, beliau akan membuat beberapa perubahan ke atas firma pelaburan negara itu.

"Saya mungkin tidak akan menggunakan model perniagaan seperti itu, mungkin saya akan pastikan (ada) penyeliaan lebih ketat," katanya kepada Bloomberg yang berpangkalan di Amerika Syarikat dalam satu wawancara.

"Tetapi kita semua belajar daripada kesilapan."

Sesungguhnya 1MDB menjadi kesilapan yang mahal buat Malaysia. Ditubuhkan pada 2009, iaitu tidak lama selepas Najib berkuasa, pinjaman firma itu dengan cepat sekali mencecah RM42 bilion.

Menjelang 2015, syarikat itu bergelut untuk membayar balik pemiutang dan banyak asetnya terpaksa segera dilupuskan sebagai sebahagian daripada apa yang disebut oleh kerajaan di Putrajaya sebagai "proses rasionalisasi".

Walau bagaimanapun, rungutan utama mengenai 1MDB adalah dakwaan bahawa dananya telah diselewengkan, khususnya tuduhan yang didokumenkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat.

Antara lain, DOJ menuduh seorang pegawai kanan yang tidak dinamakan, tetapi dirujuk sebagai "Malaysian Official 1" menerima dana AS$ 731 juta yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB.

Meskipun DOJ mula merampas aset-aset berkaitan dengan 1MDB di seluruh dunia dan bank atau tokoh perbankan yang dikaitkan dengan dana 1MDB di Singapura dan Switzerland diheret ke mahkamah, tidak ada satupun individu yang didakwa dengan sebarang kesalahan di Malaysia.

Pada pertengahan 2015, Najib memecat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang adalah sebahagian daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat skandal1MDB.

Pengganti Abdul Ghani, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kemudian membebaskan Najib daripada sebarang salah laku yang membabitkan 1MDB, dan siasatan polis ke atas firma pelaburan negara itu juga tidak membuahkan sebarang kejayaan.

Najib mengakui kepada Bloomberg bahawa 1MDB mengalami isu dengan tadbir urus, tetapi berkata "kamu tidak boleh menuduh seseorang itu sebagai pencuri kecuali terdapat bukti."

"Ia telah dibersihkan, tidak ada salah laku - saya berpegang dengannya," kata Najib, sambil mengakui bahawa isu 1MDB telah menjejaskan reputasi baik Malaysia dan kerajaannya sendiri.