Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed meminta kontraktor yang belum mendapat bayaran bagi projek yang telah disiapkan supaya mengemukakan butir-butir terperinci kepada Kementerian Kewangan bagi memboleh kerajaan membuat siasatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana kontraktor yang berjaya menyelesaikan projek kerajaan tetapi masih belum menerima bayaran supaya mengemukakan segera tuntutan kepada kementerian itu.

"Jika benar mereka berjaya menyelesaikan sesuatu projek kerajaan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan, adalah tidak wajar jika mereka tidak diberikan bayaran.

"Isu ini (kontrak yang tidak dibayar oleh kerajaan) serius jika ia benar-benar berlaku", katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada sekumpulan 750 ibu tunggal, anak yatim dan veteran Umno Bahagian Jeli, yang beliau ketuai, di kediamannya di Jeli petang semalam.

Sumbangan berupa kain batik, basikal dan kain pelikat itu disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Menurut laporan Bernama, Mustapa memberitahu demikian sebagai mengulas rungutan sebahagian kontraktor yang dikatakan terpaksa menggulung tikar malahan ada yang jatuh muflis kerana menghadapi masalah mengenai bayaran kontrak mereka dengan kerajaan.

Siasatan lanjut

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, dalam rekod kerajaan, perkara seumpama itu memang pernah berlaku terhadap sebahagian kontraktor suatu ketika dahulu berikutan masalah tertentu yang tidak membolehkan bayaran dibuat, tetapi sejak akhir-akhir ini ia sudah berkurangan.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata kerajaan memerlukan maklumat lanjut mengenainya untuk dikemukakan kepada kementerian berkenaan sebagai pihak yang bertanggungjawab dan beliau yakin kementerian akan membuat siasatan sewajarnya.

"Saya harap pihak berkenaan akan mengemukakan butir-butir terperinci kepada Kementerian Kewangan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat", katanya.

Mustapa memberi jaminan setiap kontrak yang dijayakan mengikut peraturan tidak menghadapi sebarang masalah dari segi bayaran kecuali beberapa perkara yang memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum kerajaan membuat keputusan.

Sementara itu, beliau berkata lebih banyak warga korporat memperlihatkan tahap kesedaran yang tinggi untuk memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik hasil kemakmuran yang dinikmati di negara ini.