Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini turun padang di kawasan parlimennya di Bagan Datuk dan berkongsi tips dengan calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.

Timbalan perdana menteri mengingatkan Khairuddin Haji Tarmizi (Hutan Melintang) dan Shahrul Zaman (Rungkup) supaya sentiasa merendah diri,

Beliau sendiri, kata Zahid, apabila balik kampung, “bukan TPM” tetapi sama taraf dengan wakil rakyat lain.

“Saya minta dua orang jangan nanti dah jadi YB, tengok bintang di langit, tengok rumput di bumi,” pesannya dalam lawatan ke sebuah bilik gerakan Umno di kawasannya.

Khairuddin dan Shahrul turut berada di situ. Ketika lawatan, isteri Khairuddin sedang membantu kerja-kerja kempen BN.

Menyedari perkara itu, Zahid turut menasihatkan isteri Khairuddin memberi dukungan kepada suaminya, termasuk sentiasa senyum kepada rakyat, tidak kira sebelum atau selepas hati pengundian.

“Datin, sekarang senyum. Nanti suami jadi wakil rakyat senyum juga. (Tepukan) Salam orang tengok muka, jangan salam tapi muka tengok orang lain jangan, nanti satu penggal saja (suami jadi YB).

“Sebab bukan suami saja (faktor kemenangan), (kalau) suami bagus isteri sombong, out!

“Saya cakap terus terang, saya mahu suami dan isteri kerjasama. Kita walaupun bukan wakil rakyat suami wakil rakyat.

“Tetap perangai isteri tingkah laku isteri dan kebaikan isteri turut menyumbang kejayaan suami,” katanya.

Kepada Khairuddin, Zahid turut berseloroh supaya beliau tidak membina rumah besar dan “menukar” isteri jika sudah menang nanti.

“Jangan tukar kereta, jangan buat rumah besar, jangan dulu isteri besar tukar isteri kecil. Ini saya beri amaran,” katanya.