Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut di Jertih terhadap tuduhan menagih dadah, awal bulan lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ariff Muzammil.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk menjatuhkan hukuman dan Ameng dibenarkan ikatjamin RM2,000 beserta seorang penjamin.

Menurut laporan Bernama, Ameng membayar wang ikat jamin tersebut. Pendakwaan dilakukan oleh C/Insp Hazmi Hussin.

Mengikut fakta kes, Ameng, 37, dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 11.50 pagi di kedai No. 2, Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September lalu.

Semasa ditahan, dia didapati menggunakan dadah jenis methamphetamine dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Terdahulu, ketika merayu agar mahkamah mengurangkan ikatjamin RM3,000 yang ditawarkan pihak pendakwa, Ameng berkata dia baru sahaja membuka sebuah restoran di kampungnya di Kampung Batang Gergaji.

Ameng yang menganggotai kumpulan Spring menghasilkan beberapa album iaitu Sejiwa pada 1990, Sampai Hati (1991), Bourgenvilla (1992), Pujaan Gemilang (1993), Jujur (1994) dan Spring 5 (1995). Kumpulan itu muncul lagi dengan album Balada Gemilang (1996), Luahan (1997), Kerana Budi (1998), Galeri Gemilang (1999), Terus Gemilang (1999) serta Sentuhan Sensasi Spring-Slam (2000).