Pengguna kini boleh terus menggunakan kad kredit di stesen minyak berikutan pengurangan caj yang dikenakan oleh pihak bank kepada pengusaha stesen minyak iaitu sebanyak 0.3 peratus seliter mulai 1 November ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal berkata, kadar caj secara purata yang baru itu menyaksikan pengusaha perlu membayar 0.83 peratus kepada bank bagi setiap liter petrol dan diesel yang dibeli menggunakan kad kredit, berbanding 1.13 peratus ketika ini.

Sehubungan itu, katanya kadar caj yang perlu dibayar oleh pengusaha stesen minyak kepada pihak bank ialah 1.34 sen seliter berbanding ketika ini 1.83 sen bagi petrol manakala 1.06 sen seliter berbanding 1.45 sen bagi diesel.

"Bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak hasil daripada penggunaan kad kredit yang semakin meningkat dalam pembelian produk petrol dan diesel di stesen minyak, kementerian menyarankan supaya caj yang dikenakan oleh pihak bank kepada pengusaha stesen minyak dikurangkan.

"Pada mesyuarat yang diadakan minggu lepas, persetujuan telah dicapaiiaitu caj kepada pengusaha stesen minyak dikurangkan sebanyak 0.3 peratus seliter mulai 1 Nov," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) dilaporkan mahu menghentikan penggunaan kad kredit di stesen minyak selepas Aidilfitri jika masalah komisen tidak diselesaikan.

Menurut laporan bernama, berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan isu berkenaan diselesaikan secara baik.

Komisen meningkat

Shafie berkata penurunan caj itu akan menyaksikan peningkatan jumlah komisen yang akan diperoleh oleh pengusaha stesen minyak.

Katanya ketika ini komisen yang diterima berada pada tahap 6.17 sen seliter bagi petrol dan 2.05 sen seliter bagi diesel dan dengan kenaikan itu, mereka akan menerima komisen antara 6.66 sen seliter bagi petrol dan 2.44 sen seliter bagi diesel.

"Dengan adanya perubahan ini, diharapkan pengusaha stesen minyak dapat terus membekalkan produk petrol dan diesel kepada pengguna yang membeli menggunakan kad kredit," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata bagi mengurangkan kos kewangan kepada pihak bank kesan daripada pengurangan caj itu, pengguna yang membeli diesel dan petrol menggunakan kad kredit tidak layak mendapat mata bonus bagi program kesetiaan pengguna.

Shafie berkata sebanyak 40 peratus pengguna di Lembah Klang membeli petrol menggunakan kad kredit menyebabkan beban yang ditanggung oleh pengusaha stesen minyak untuk membayar caj kepada pihak bank meningkat.

"Komisyen pengusaha stesen minyak ditetapkan oleh kerajaan iaitu lapan sen seliter bagi petrol dan 3.5 sen seliter bagi diesel.

"Sekiranya bebanan yang ditanggung oleh pengusaha stesen minyak berterusan, ia akan mengurangkan hasil pendapatan pengusaha stesen minyak tersebut," katanya.