'Tun, keluarga saya sudah 3 generasi di Langkawi'
Walaupun pernah membangunkan Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mampu lagi untuk menguruskan pulau itu, kata pencabarnya Datuk Nawawi Ahmad.
Nawawi, penyandang kerusi parlimen itu, terus mengulangi kenyataannya bahawa orang luar tidak memahami keperluan rakyat di kawasan tersebut.
Nawawi mengakui keluarganya sudah mempunyai tiga generasi di daerah ini dan selaku anak jati Langkawi beliau cukup faham apa yang dimahukan oleh rakyat Langkawi.
Selain itu Nawawi berkata dengan umurnya kini 56 tahun bertenaga untuk memberi khidmat terbaik jika diberikan mandat untuk membangunkan rakyat di pusat pelancongan tersebut.
“Kelebihan saya dari segi tenaga dan kuat bekerja dan bagi tumpuan untuk Langkawi. Tun pula tak ada masa kerana dia perlu jaga seluruh negara, jalan sana sini kena bagi ucapan.
“Saya pula hanya fokus kawasan saya Langkawi dan kelebihan saya, saya anak watan Langkawi, yang dilahirkan di Langkawi yang sentiasa bergelumang dengan masyarakat, dan senang didekati.
“Dalam kampung, ketika beli ikan ke, mereka senang nak jumpa saya itu kelebihan saya dari Tun,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di sebuah hotel di Langkawi, hari ini.

Parlimen Langkawi merupakan antara kerusi panas dalam pilihan raya 9 Mei ini apabila Dr Mahathir (atas) yang juga calon perdana menteri Pakatan Harapan mengumumkan akan bertanding di situ.
Pada PRU ke-13 lalu Nawawi menang di Langkawi dengan kelebihan besar 11,861 undi mengetepikan cabaran wakil PKR, Ahmad Abdullah.
Kerusi tersebut sekurang-kurangnya bakal berdepan dengan tiga penjuru apabila PAS turut mempertaruhkan yang dipertunya bagi kawasan pulau pelancongan itu, Zubir Ahmad.

Dr Mahathir sering menjadikan Langkawi tumpuannya ketika menjadi perdana menteri.
Antaranya, beliau mengisytiharkan Langkawi pulau bebas cukai pada 1987, dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi untuk memacu pertumbuhannya.
Dr Mahathir juga kerap berkunjung ke Langkawi dan secara peribadi mengikuti perkembangannya.
Mengulas mengenai sumbangan bekas Dr Mahathir, Nawawi mengakui beliau telah merasa pembangunan itu ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri.
'Bukan kerana kapasiti dia sebagai Mahathir'
Bagaimanapun katanya, pembangunan yang diberikannya itu berdasarkan tanggungjawab seorang perdana menteri dan bukan terletak kepada individu.
“Ya, hasil pembangunan tangan Tun saya akui.
“Semua orang hormat tapi Tun bangunkan Langkawi bukan kerana kapasiti dia sebagai Mahathir tapi sebab dia bertanggungjawab sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
“Dan oleh kerana BN perintah jadi dia boleh bangunkan Langkawi, bukan kerana diri dia (Dr Mahathir).
“Dulu Tun bawa idea hebat dengan kuasa.
“Dia ada idea dan dia ada kuasa, tapi sekarang tidak macam dulu, dia cuma ada idea tapi tak ada kuasa jadi saya rasa takkan berlaku apa-apa kepada Langkawi,” katanya.

