Kuala Lumpur akan menempatkan 2,693 anggotanya di sekitar ibu kota dan Putrajaya bagi memastikan proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 pada Sabtu ini berjalan lancar.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata anggota terbabit akan ditempatkan di beberapa kawasan tumpuan melibatkan 12 Parlimen di enam daerah di sini.

"Kawasan terlibat ialah di sekitar Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Putrajaya.

“Penempatan ini diharap akan melancarkan proses penamaan calon dan tiada sebarang provokasi yang tidak diingini berlaku," katanya selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Kor Kadet Polis ke-48 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 550 anggota Kor Kadet Polis dari pelbagai sekolah di ibu negara menyertai perbarisan ulang tahun itu.

Mazlan turut menasihati semua pihak yang terlibat agar mengikuti undang-undang yang ditetapkan.

“Jika berlaku sebarang masalah, orang ramai diharap tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya harus memaklumkan pada pihak berkuasa bagi mengawal keadaan.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dengan mencetuskan kekacauan sepanjang berlangsungnya proses penamaan calon itu,” katanya.

- Bernama