Pemergian Allahyarhamah isterinya, Datin Seri Endon Mahmood ke Rahmatullah Khamis lalu, akibat penyakit barah payu dara, telah menimbul keazaman dan kekuatan pada diri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi "untuk melawan penyakit tersebut dari semua aspek".

Beliau berkata, Endon semasa menerima rawatan di luar negara, pernah memberitahu beliau bahawa sakitnya amat kuat dan "terlalu berat untuk ditanggung".

"...tetapi katanya (Allahyarham) ia juga mungkin satu pengajaran bagi diri dia, bagi keluarga dan mungkin juga bagi orang lain," kata Abdullah menambah bahawa antara pengajaran ketara daripada penderitaan allahyarham ialah timbul keazaman yang lebih kuat pada dirinya dan juga di kalangan rakyat untuk melawan penyakit tersebut daripada semua aspek.

Malah, kata Perdana Menteri, beliau juga akan berusaha memastikan rawatan dan ubat-ubatan bagi penyakit itu lebih mudah diperoleh dan harganya juga berpatutan.

"Harga untuk menerima rawatan kanser amat-amat tinggi sekali. Ubatnya juga amat mahal harganya dan inilah niat saya supaya usaha kita nanti akan sampai kepada peringkat iaitu rawatan untuk penyakit kanser, (dan) ubat untuknya biarlah nanti kita pastikan serendah-rendah dan semurah-murahnya supaya rawatan yang terbaik bukan hanya diperoleh oleh mereka yang mampu membayar tetapi juga mudah diperoleh oleh masyarakat yang pendapatannya kurang.

"Dan itulah yang perlu kita usahakan dan Insya-Allah itulah juga yang ingin saya usahakan," katanya ketika mengucapkan terima kasih kepada usul takziah oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Rasa terharu

Usul tersebut dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan disokong oleh Menteri Kerja Raya yang juga Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dan dibahaskan oleh 15 ahli Dewan Rakyat yang mewakili parti masing-masing, termasuk Datuk Shahrir Abdul Samad selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBC).

Abdullah melahirkan rasa terharunya terhadap usul ucapan takziah oleh ahli Parlimen serta berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan nasihat, pandangan dan sokongan kepadanya dan keluarga sejak allahyarham isterinya meninggal dunia Khamis lalu.

"Tuan Yang Dipertua, saya berasa amat terharu kerana inilah pertama kali tindakan diambil untuk membawa usul seperti ini ke Dewan Rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan Bernama, Abdullah turut mengulangi ikrar untuk meneruskan tugasnya dengan lebih berdedikasi kerana "saya percaya inilah yang menjadi harapan arwah isteri saya."

Perdana Menteri juga berkata, beliau akan membantu pihak yang berkenaan untuk meneruskan beberapa projek yang telah dilaksanakan oleh allahyarham tetapi belum sempat disiapkan.

Abdullah yang tiba di Dewan Rakyat pada jam 10.50 pagi, mendengar usul tersebut dibentang dan dibahaskan selama lebih satu jam oleh semua wakil parti-parti komponen Barisan Nasional dan wakil parti pembangkang.

Ikrar Najib

Najib semasa membentangkan usul itu mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri bagi pihak kerajaan dan anggota Dewan Rakyat serta menyatakan ikrar untuk terus memberi sokongan padu kepada Abdullah.

Perdana Menteri yang kembali memulakan tugasnya di pejabat hari ini kelihatan tenang semasa mendengar perbahasan usul itu yang dibawa bagi menyampaikan simpati kerajaan dan ahli dewan berikutan pemergian allahyarham Endon ke Rahmatullah selepas bertahun melawan penyakit barah payu dara.

Abdullah memberitahu dewan bahawa beliau hanya tahu mengenai pembentangan usul itu semasa tiba di pejabatnya dan memutuskan untuk datang sendiri bagi mengucapkan terima kasih kepada anggota Dewan Rakyat kerana membawa usul berkenaan.

"...saya ambil keputusan untuk datang bukan sekadar untuk mendengar apa yang akan diucapkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat, tetapi yang lebih penting untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Yang Berhormat yang bercakap, yang memberikan pandangan, nasihat dan sebagainya, ucapan takziah dan kepada mereka yang akan menyokong usul ini.

"Saya tentulah rasa amat terharu dengan inisiatif ini dan pula selepas mendengar ucapan-ucapan yang telah diberikan oleh Ahli Yang Berhormat sekalian," katanya.

Abdullah juga memberitahu dewan bahawa Endon (foto) semasa hayatnya turut meminta beliau menyucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah banyak membantu allahyarham menjalankan pelbagai tugas khususnya dalam Bakti, terutama kepada isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang banyak membantu allahyarham

dalam badan itu.

"Oleh sebab Endon tidak dapat dengan sendirinya menyatakan terima kasih kepada mereka kerana Endon tidak dapat menemui mereka semasa sakit, maka izinkanlah saya mengucapkan ucapan terima kasih kepada mereka semua bagi pihak Endon.

"Jika ada apa-apa perkara yang berupa kesilapan dan kekurangan atau apa-apa perkara yang beliau lakukan atau pun percakapan yang telah menyentuh perasaan kawan-kawannya, yang telah menyusahkan mereka, maka izinkanlah saya bagi pihak Endon untuk mengucap banyak-banyak maaf. Inilah tindakan saya dan saya percaya Endon amat menghargainya kalau saya dapat ucap terima kasih dan minta maaf kepada mereka semua," katanya.