Letak calon Umno di Hutan Melintang langkah strategik - Zahid
PRU14 l Keputusan meletakkan calon Umno bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang merupakan langkah strategik bagi membantu BN Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata Umno tidak mengambil alih kerusi tradisi MIC tersebut tetapi cuma membantu MIC dan BN secara keseluruhannya dalam mencapai agenda yang lebih besar iaitu memenangi majoriti dua pertiga kerusi di peringkat DUN Perak.
Katanya persoalan merampas kerusi tidak timbul kerana kepimpinan BN pusat telah pun berbincang mengenai perkara itu dan MIC juga telah diberikan kerusi DUN Sungkai.
“Ini menunjukkan kesefahaman yang tinggi di antara parti komponen BN terutamanya MIC bagi kepentingan semua, mereka tidak kecil hati.
“Kita faham MIC telah pun bertanding di Hutan Melintang selama enam penggal, tetapi Umno bukan ambil alih tetapi cuma membantu MIC demi kemenangan dua pertiga di DUN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam ucapannya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 13, di Bagan Datuk hari ini.
Selasa lepas, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Timbalan Ketua Umno bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi sebagai calon BN di DUN Hutan Melintang pada PRU14.
Pengerusi MIC Negeri, Datuk V Elango pula bakal bertanding bagi kerusi DUN Sungkai.
- Bernama

