Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya yakin orang Pasir Gudang tak akan biarkan saya tewas'
Diterbitkan:  Apr 26, 2018 9:51 PM
Dikemaskini: Apr 27, 2018 3:09 AM

PRU14 l Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru kesemua jentera parti untuk bekerja keras bagi menjamin kemenangan berpihak kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mohamed Khaled yang akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, berkata beliau yakin penduduk Pasir Gudang tidak akan membiarkannya kalah kepada calon-calon luar yang diletakkan pembangkang.

"Mereka (pembangkang) meletakkan calon-calon luar yang nombor kad pengenalannya pun bukan ‘01’ untuk bertanding di Pasir Gudang. Tetapi, saya yakin dengan orang Pasir Gudang, mereka tidak akan membiarkan saya tewas di tangan orang luar ini.

"Pembangkang terutamanya DAP meletakkan pemimpin mereka di Johor, pastikan kita gunakan kesempatan ini untuk tewaskan pemimpin mereka dan buktikan mereka silap melakukan percaturan," katanya ketika berucap di majlis memperkenalkan calon BN bagi Parlimen Pasir Gudang, DUN Permas dan DUN Johor Jaya, di Johor Bahru malam tadi.

Menteri Besar Johor itu menjangkakan PRU14 merupakan pilihan raya umum paling sengit yang mesti dimenangkan seluruh parti komponen BN di negeri itu.

"Kemenangan BN di Johor mesti bermula di Pasir Gudang. Oleh itu, jangan malukan Pasir Gudang, jangan benarkan diri kita dikalahkan oleh pembangkang, bila kita masuk perang kita mesti menang," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Wanita BN Pasir Gudang Datuk Normala Abdul Samad atas khidmat baktinya sepanjang menjadi anggota Parlimen Pasir Gudang pada penggal lepas.

"Kita sesungguhnya amat terhutang budi dan berterima kasih, malah kita percaya atas semangat kepartian beliau akan terus sama-sama berjuang untuk memenangkan parti.

"Apa pun, saya berharap kita jadikan sebagai matlamat dan objektif kita dalam PRU14, untuk kawasan Pasir Gudang, kita mesti menang 3-0," katanya.

Di majlis itu, Mohamed Khaled diperkenalkan kepada jentera sebagai calon BN bagi Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas, manakala Datuk Tan Cher Puk sebagai calon DUN Johor Jaya.

- Bernama

Lihat Komen