Terjemahan Pembuat kereta nasional Proton Holdings Bhd telah menyatakan minatnya untuk membeli dua model kereta buatan syarikat gergasi automobil Jerman, Volkswagen yang kini mendapat sambutan hangat dari kalangan pengguna.

Akhbar ekonomi The Edge mementik satu sumber Proton sebagai berkata, Proton berminat dengan model Passat dan Sharan yang mencatat kejayaan di pasaran antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

Sharan merupakan kenderaan pelbagai-guna tujuh tempat duduk manakala Passat pula adalah model saloon. Sumber tersebut bagaimanapun enggan menyatakan jumlah yang perlu dibayar oleh Proton untuk kedua-dua model tersebut.

Bagaimanapun, seorang penganalisa industri tersebut berpendapat, pembelian dua model tersebut, tidak akan dapat menangani masalah Proton dalam pengeluaran model baru, kerana kerja penyediaan rekabentuk, boleh mengambil masa satu dua tahun.

Beliau juga berkata, rundingan dengan Volkswagen juga tidak akan dapat membantu menyekat kejatuhan jualan kereta Proton kerana "membeli model lama dan mengeluarkan model lama, tidak akan dapat menyekat kejatuhan (jualan) tersebut."

Sebelum ini, Proton berkata, ia akan terus mengambil dan menimbang pelbagai peluang perniagaan dan kerjasama teknikal, termasuk dengan Volkswagen, tetapi sehingga ini tiada sebarang persetujuan dicapai dengan syarikat Jerman itu.

Proton juga sebelum ini mengumumkan kerugian RM12.35 juta bagi tempoh tahun pertama sehingga Jun lalu, berbanding keuntungan RM166.47 juta yang dicatatkan sebelumnya.

Harga kereta kekal

Rabu lalu, Malaysia mengumumkan rangkakerja dasar automobil untuk meningkatkan lagi dayasaing syarikat kereta nasional Proton dan Perodua dan untuk menjadi hub pengeluaran dan pemasangan kenderaan serantau.

Ia turut menyenaraikan langkah-langkah kerajaan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan dalam sektor automobil negara.

Sebelum ini, Proton menjual enam daripada setiap 10 buah kereta baru di Malaysia, tetapi jualannya merosot sejak beberapa tahun lalu berikutan persaingan hebat daripada kereta import keluaran Toyota, Honda dan Kia yang kerap memperkenalkan model baru.

Presiden Persatuan Automobil Malaysia, Aishah Ahmad, mengingatkan bahawa harga kereta tidak akan jatuh walaupun rangkakerja dasar baru itu diperkenalkan.

"Saya tidak fikir harga kereta akan berubah kerana ramai yang masih ada stok lama pada harga lama. Jika mahu membeli kereta, belilah sekarang sebelum berlaku sebarang perubahan," katanya dipetik oleh akhbar Sunday Times . Berita asal