Paling Popular
Terkini

PRU14 | Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah tidak menjadi calon Pakatan Harapan kali ini walaupun namanya dicadangkan di tiga tempat strategik.

Beliau yang mempunyai banyak pengalaman dalam PAS dan kerajaan Kelantan menjadi pilihan utama Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menjadi calon kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas dan Bunut Payong, selain untuk parlimen Rantau Panjang

Bagaimanapun kata Naib Presiden AMANAH Husam Musa bekas speaker DUN Kelantan itu memilih untuk tidak terlibat secara langsung sebagai calon.

Sebaliknya kata Husam, tokoh yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Rahim itu menggalas peranan lain yang tidak kurang pentingnya iaitu pengerusi jentera pilihan raya HARAPAN Kelantan.

"Pengerusi AMANAH negeri dicalonkan di tiga tempat sebagai piliham pertama tetapi atas dasar ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perjalanan kempen di seluruh Kelantan, beliau menolak permintaan supaya bertanding.

"Beliau mempunyai keutamaan untuk membantu jentera bagi memastikan kita berjaya," katanya sambil menegaskan Wan Abd Rahim membuat penolakan itu walaupun dipelawa berkali-kali.

Husam berkata demikian semasa sidang media selepas majlis pengisytiharan calon HARAPAN Kelantan untuk PRU ke-14 di Kota Bharu, malam tadi.

Ada ramai calon

Sebagai rekod, Wan Abd Rahim sebelum ini pernah dipilih sebagai wakil rakyat bagi parlimen Kota Bharu pada 2008.

Pada pilihan raya lalu, beliau diutus Pakatan Rakyat mencabar penguasaan Tengku Razaleigh Hamzah di parlimen Gua Musang namun kalah dengan majoriti 8,413 undi.

Sementara itu, Husam ketika ditanya mengenai bakal calon menteri besar Kelantan sekiranya HARAPAN berjaya menumbangkan PAS berkata, mereka mempunyai strategi mencukupi untuk mengatasi isu berkenaan.

Katanya di kalangan calon HARAPAN kali ini ada ramai yang layak dipilih menjadi menteri besar.

"Kita mempunyai strategi dengan meletakkan ramai bakal calon menteri besar yang semuanya mempunyai kelayakan dan kewibawaan," katanya.

Husam yang turut bertanding untuk DUN Salor bagaimanapun menjelaskan isu menteri besar HARAPAN hanya akan dibincangkan selepas mereka benar-benar berjaya mengalahkan PAS.

Lihat Komen
ADS