Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie pertahan Semporna, berdepan sepupu di DUN Senalang

PRU14 l Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahankan kerusi parlimen Semporna pada pilihan raya umum akan datang.

Ini diumumkan oleh Shafie sendiri semasa pengumuman calon pilihan raya WARISAN di Kota Kinabalu, hari ini.

Walau bagaimanapun, kali ini ahli parlimen Semporna selama lima penggal itu juga akan bertanding di kerusi DUN Senalang.

Shafie perlu bertanding di kerusi DUN jika mahu dilantik sebagai ketua menteri sekiranya gabungan pakatan pembangkang yang dipimpin oleh WARISAN merampas atau mengambil alih kerajaan negeri daripada BN.

Walau bagaimanapun, dengan keputusan ini, Shafie akan berdepan dengan sepupunya, Datuk Nasir Sakaran yang juga adalah penyandang kerusi berkenaan.

Selain pertembungan itu, seorang lagi sepupu Shafie, Datuk Abdul Razak Sakaran juga dinamakan oleh BN sebagai calon di kerusi DUN Bugaya. Kedua-dua Senalang dan Bugaya, adalah kerusi DUN di bawah Parlimen Semporna.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Shafie mengekalkan kerusi Semporna dengan undi majoriti 20,905. Beliau ketika itu adalah naib presiden Umno dan seorang menteri persekutuan.

Pada pilihan raya akan datang, Shafie dijangka berdepan dengan Datuk Ramlee Marahaban di Semporna. Ramlee adalah penyandang kerusi DUN Bugaya.

Susulan Shafie meninggalkan Umno, Ramlee menjadi pengkritiknya yang paling lantang. Antara lain, beliau mendakwa bahawa Shafie tidak banyak melakukan untuk Semporna.

Lihat Komen
ADS