BN sudah kembali pulih daripada masalah gambaran buruk yang sebelum ini dicemari isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta pendedahan hal ehwal 1MDB, demikian menurut pusat kaji selidik Merdeka Centre.

Pengarah programnya, Ibrahim Suffian membentangkan data yang menunjukkan bahawa sentimen masyarakat kepada kerajaan persekutuan bertambah baik, berikutan tahap penerimaan rakyat meningkat kepada 39 peratus secara umumnya dan peningkatan kepada 47 peratus dalam kalangan orang Melayu.

Ini, katanya, sudah cukup untuk BN berkuasa dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Sepanjang lima tahun lalu, perangkaan ini telah turun tetapi ia juga mula naik. Tidak begitu jauh hal ini dengan keadaan pada awal 2013 tapi kini amat dekat dan kita cuma ada dua minggu lagi (sebelum hari mengundi 9 Mei).

"Jadi, kita boleh katakan bahawa dalam tempoh dua setengah tahun ke tiga tahun lalu, daripada pertengahan tahun 2015 ketika skandal 1MDB mula tersiar, kerajaan perlahan-lahan melangkah ke hadapan ... (dan) hampir mencapai matlamat untuk menjadikan hampir 50 peratus orang (Melayu) menyokong mereka.

"[...] Juga, pengundi Melayu lebih cenderung menyokong kerajaan dan lebih positif terhadap kerajaan berbanding orang lain.

"Itulah sebabnya walaupun anda mempunyai undi popular yang rendah tetapi sempadan pilihan raya yang khusus memihak kepada kawasan bumiputera luar bandar, maka

penyandang akan terus menguasai Parlimen dan politik negara ini kerana (orang Melayu) bersamanya, mereka lebih menghargai (kerajaan)," katanya.

Ibrahim berkata demikian di forum "Perspektif dan Perspektif Malaysia GE14: Perspektif dan Hasil" yang diadakan di Universiti Nottingham, Kuala Lumpur malam tadi.

Graf beliau menunjukkan bahawa ketidakpuasan hati masyarakat dengan pentadbiran negara turun secara mendadak sehingga 16 peratus pada tahun 2015 apabila GST mula diperkenalkan dan laporan 1MDB menjadi semakin jelas buat pertama kali.

Bagaimanapun, petunjuk graf itu mula meningkat apabila BN memenangi pilihan raya negeri Sarawak diikuti pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada tahun 2016.

Ia kemudiannya meningkat semula pada tahun 2017 selepas Malaysia berjaya menjadi tuan rumah dan memenangi Sukan Asia Tenggara (SEA) dan selepas Bajet 2018 diumumkan.

Tambah Ibrahim, peruntukan pelepasan cukai dan kebanyakan "habuan" yang telah dimasukkan dalam belanjawan itu telah memihak kepada kepentingan BN.

Di forum itu, beliau juga meramalkan bahawa Kelantan akan jatuh kepada BN manakala "tsunami Melayu" yang banyak dibincangkan sebelum akan memberi peluang tipis kepada HARAPAN berikutan kelemahan pembangkang bagi memenangi hati pengundi Melayu pedalaman.

Malaysia akan melangsungkan pilihan raya umumnya pada 9 Mei depan.

[Baca berita asal]