HARAPAN yakin kembali berkuasa di Selangor
Pakatan Harapan Selangor yakin dapat kembali berkuasa di negeri itu dan mengekalkan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini, kata timbalan pengerusinya.
Ini di sebalik, perbalahan dalaman baru-baru ini dalam parti komponen gabungan itu, terutamanya PKR berhubung peruntukan kerusi dan pemilihan calon serta persempadanan semula kawasan pilihan raya dan kemungkinan pertandingan pelbagai penjuru.
Akhbar Cina, Oriental Daily, memetik Pua sebagai berkata beliau percaya HARAPAN mampu memenangi 40 daripada 56 kerusi negeri yang dipertandingkan, atau bahkan mengulangi kemenangan mereka pada PRU 2013 dengan memenangi 44 kerusi.
Bagi DAP Selangor, Pua berkata beliau mensasarkan untuk menyapu bersih semua empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi negeri yang akan ditandinginya.
Pua yang juga adalah pengerusi DAP Selangor berkata kegagalan BN menurunkan pemimpin negeri yang kuat adalah antara alasan HARAPAN akan kembali menguasai kerajaan negeri.
Beliau juga memetik siri skandal yang membabitkan kerajaan persekutuan dan sentimen pengundi bandar sebagai alasan mengenai keyakinannya itu.
"Ramai pengundi Melayu tinggal di kawasan bandar seperti Sri Setia, Kota Anggerik dan Seri Serdang. Mereka terima baik isu yang kami timbulkan.
"BN Selangor tidak mempunyai jeneral untuk memimpin mereka pada pertempuran pilihan raya ini, mereka tidak bersedia untuk bertanding," katanya.
Pua berkata beliau juga kurang bimbang dengan PAS, kerana mendakwa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti itu menunjukkan mereka telah terputus daripada senario politik keseluruhan.

