Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhirnya ustaz Kazim 'jumpa Ultraman'
Diterbitkan:  Apr 27, 2018 5:25 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Khabar angin mengatakan penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias bakal bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar.

Semuanya gara-gara Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim memuat naik status di Instagram berbunyi "Nak g (pergi) jumpa Ultraman kejap. Nak tanya pendapat dia nak bertanding ke tidak.Tungguuuu..."

Turut dikhabarkan dua abangnya, Timbalan Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah, turut mempertimbangkan keputusan bertanding bebas.

Sehubungan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini berkata beliau dimaklumkan berita tersebut adalah tidak benar oleh Kazim sendiri.

"Saya sudah mendapatkan laporan yang mengatakan tiga beradik bertanding sebagai calon bebas dan itu tidak benar. Datuk Mohd Najmuddin menghantar mesej kepada saya, begitu juga Ustaz Kazim.

"Beliau (Ustaz Kazim) mengatakan tidak tahu siapa yang mereka-reka atau membaca yang tersirat, walhal dia tidak bermaksud begitu dan beliau memang suka buat ayat-ayat biasa yang menyeronokkan tetapi ada orang lain mentafsirkan sebaliknya, jadi jangan percaya apa yang disampaikan itu.

"Ustaz Kazim juga menyatakan beliau seorang pendakwah yang lebih suka berada di luar lingkungan politik tetapi memberikan pandangan (yang membawa) kebaikan kepada masyarakat," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Zambry berkata demikian selepas majlis penyampaian surat tawaran kelulusan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Sungai Tiram, Lekir hari ini membabitkan lebih 300 penerima.

Terdahulu, status yang dimuat naik Kazim dengan gambar seakan-akan berada di lapangan terbang itu mendapat perhatian lebih 16,000 pengikut laman sosialnya itu serta pelbagai komen.

Kazim kemudian memuat naik satu lagi status berbunyi "Akhirnya... Ultraman jumpa Ultrazim.." beserta gambar sedang berdiri bersebelahan patung Ultraman.

Sementara itu, Sinar Harian memetik sumber sebagai berkata enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi Dun Kubu Gajah pada minggu lalu mendesak Ahmad Hasbullah yang juga abang kepada Kazim dicalonkan semula pada PRU14.

Kumpulan terbabit juga mendesak Ahmad Hasbullah bertanding atas tiket bebas jika tidak dicalonkan.

Bekas Adun Batu Kurau, Mohd Najmuddin ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan berkenaan.

“Buat masa sekarang no komen dulu lebih selamat. Tapi saya terima pun tidak, nafi pun tidak perkara tersebut kerana saya sendiri tak dengar lagi khabar angin ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS