Khaled rela dipersalahkan asalkan Puad buat kerja
PRU14 | Menteri besar sementara Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau sanggup menjadi sasaran untuk puaskan hati Mohd Puad Zarkashi namun menggesa anggota majlis tertinggi Umno itu tumpukan pada kerja parti dan pilihan raya umum (PRU).
Khaled berkata demikian selepas Puad menyalahkan beliau semalam kerana tidak dicalonkan semula di Batu Pahat dan mendakwa pengerusi BN Johor itu hanya mencalonkan kroninya.
"Dia boleh cakap macam-macam tentang saya, hanya satu saya nak cakap - fokus kita adalah untuk menghadapi PRU.
"Sebagai pengerusi BN Johor, saya sanggup menjadi sasaran. Pukul seberapa dia nak, puaskan hati, tapi lepas itu kerja untuk parti. Itu saja," katanya.
Khaled berkata beliau sanggup dipersalahkan selagi Puad tidak salahkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Puad dalam kenyataan di Facebook semalam mengulas berkenaan apa yang digelarkannya sebagai "Team Khaled".
"Khaled menjadikan 'Muafakat Johor' juga umpama sampah. 'Team Johor' sebenarnya adalah 'Team Khaled'. Akhirnya pemilihan calon lebih menjurus kepada kronisme dan persiapan untuk menghadapi pemilihan parti akan datang.
"Orang yang bersama beliau mengkritik Najibdalam grup Whatsapp semuanya kekal sebagai calon. Ada antara mereka berani menuntut Najib meletakkan jawatan (dalam WhatsApp)," katanya dalam kenyataan semalam.
Puad juga mengulas berkenaan calon BN yang didakwa gambarnya baring bersama wanita bukan mahram di atas katil terdedah.
Mengulas perkara itu, Khaled seharusnya menyalahkan beliau dan buannya calon lain.
"Sebab itu saya kata, serang saya (dan bukannya orang lain)," katanya.
Khaled, yang ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil ke atas Puad berkata bukan beliau yang layak buat keputusan itu.
Puad yang merupakan antara pemimpin yang dilihat lantang mempertahankan Najib dan BN, meletakkan jawatan sebagai pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) selepas tidak puas hati kerana tidak dicalonkan di Batu Pahat.
Sekurang-kurangnya dua mesej yang dikatakan dikeluarjan oleh Puad kepada rakan-rakannya menunjukkan dia akan bertanding melawan BN sebagai calon bebas di kerusi parlimen Batu Pahat dan kerusi DUN Senggarang.
Puad bagaimanapun enggan mengesahkan kebenaran mesej berkenaan.
Namun kenyataannya semalam menunjukkan beliau bersedia untuk berlawan.
"Saya tahu ramai yang akan mengecam saya kerana posting terbaru ini. Saya tidak akan menjawab komen balas mereka. Yang penting saya mendedahkan apa yang ada dalam hati nurani saya. Lagi pun saya sudah mengatakan I will fight until the last drop," katanya.

