Akar umbi desak parti gugur calon terpalit kes cabul
PRU14 | Beberapa jam selepas media melaporkan ada calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan sedang disiasat polis atas dakwaan mencabul, muncul desakan di peringkat akar umbi supaya individu terbabit digugurkan.
Melalui sepucuk surat yang dialamatkan ke ibu pejabat parti komponen HARAPAN itu ahli daripada gabungan pembangkang itu mendesak pucuk pimpinan agar pencalonan individu berkenaan ditarik balik.
Menurut surat itu, dakwaan salah laku moral terbabit memalukan parti mereka, selain parti-parti komponen dalam HARAPAN.
Surat itu juga mempersoalkan sama ada HARAPAN sudah ketandusan tokoh sehingga mencalonkan orang yang pernah dituduh melakukan jenayah, atau mereka sengaja mahu menempah kalah di kawasan yang ditandinginya.
Surat itu turut menyorot kerusi yang bakal ditandingi individu yang didakwa terlibat dalam kes cabul itu sebagai kerusi penting serta berpotensi menyumbang kemenangan kepada HARAPAN.
Seterusnya, surat itu mendesak agar pucuk pimpinan tertinggi parti tidak memandang ringan hal itu kerana, menurut penulis surat berkenaan, anggota jentera parti tidak dapat menerimanya.
Baru tahu, enggan ulas
Penulis surat itu juga turut menamakan calon lain yang dikatakan lebih sesuai untuk menggantikan calon yang terpalit dengan dakwaan mencabul itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidik mengesahkan pihaknya sedang menyiasat seorang calon HARAPAN Kelantan yang bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu atas dakwaan mencabul.
"Kes tersebut bukan kes rogol, tetapi cabul. Kita siasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, " katanya ketika dihubungi.
Kejadian mencabul itu dikatakan terjadi pada Feb tahun lalu di sebuah bilik hotel di Kota Bharu.
Mangsa merupakan wanita berusia awal 50-an itu membuat laporan pada Jun 2017.
Sementara itu suspek yang dihubungi Malaysiakini enggan memberi sebarang komen.
"Saya baru mendapat maklumat daripada berita yang tersiar dan tak boleh nak mengulas," katanya.

