PRU14 | Pakatan Harapan (HARAPAN) menjangkakan pertembungan sengit di Hulu Langat - kawasan separa bandar yang merupakan kubu PAS - dalam usaha mempertahankan negeri Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pada 2013, penyandang dua penggal parlimen itu Che Rosli Che Mat manambah majoriti undi kepada 17,267 dan akan bertanding untuk mempertahankan kerusinya.

HARAPAN juga akan berdepan pertembungan empat penjuru dengan PSM, PAS dan BN di kawasan majoriti Melayu.

Calon HARAPAN bagi parlimen itu yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH Hasanuddin Mohd Yunus bagaimanapun mendakwa PAS tidak mempunyai penyokong teras kuat di situ dan pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong parti itu kini mempunyai AMANAH sebagai alternatif.

"Di kalangan penyokong PAS sendiri ramai yang merupakan 'harum manis'. Mereka mungkin tidak menentang parti secara terbuka, tapi mereka mungkin akan mengundi HARAPAN secara rahsia.

"AMANAH merupakan alternatif yang menarik," katanya yang merujuk golongan penyokong PAS yang menyokong AMANAH.

Hasanuddin berkata demikian selepas melancarkan pusat gerakan HARAPAN di Dusun Tua yang terletak di Batu Sembilan, Kajang hari ini.

Hulu Langat merupakan antara kawasan parlimen paling besar di Selangor yang meliputi kawasan di Hulu Langan sehinggan di bahagian selatan Semenyih.

Menurutnya lagi, kecaman berterusan PAS terhadap AMANAH adalah kerana calon HARAPAN kini bertanding dengan logo PKR.

"Penggunaan logo PKR akan melenyapkan kemarahan terhadap AMANAH," kata Hasanuddin.

Dua calon lain yang bertanding di kerusi itu adalah Azman Ahmad dari BN dan S Arutchelvan dari PSM.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, HARAPAN meletakkan calon Melayu dari DAP Edry Faisal Yusof (gambar).

Hasanuddin menambah, pihaknya akan membantu Edry berkempen di kawasan Melayu yang terdiri daripada penyokong kuat Umno dan PAS.

Menurut Edry, terdapat ramai golongan atas pagar di kawasan itu yang tidak peduli dengan latar belakang parti politik dan lebih kepada apa yang parti itu tawarkan.

Edry juga menyatakan keyakinannya bahawa HARAPAN yang turut dianggotai PKR yang memimpin Selangor lebih mudah meraih sokongan berbanding BN dan PAS.

"Mereka akan pilih parti yang akan membentuk kerajaan negeri, Jika mereka undi PAS, mereka tahu mereka tak dapat apa-apa," katanya.

[Baca berita penuh]