Bekas staf Zahid sertai BERSATU, jadi calon HARAPAN
PRU14 | Seorang bekas staf pejabat Timbalan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyertai BERSATU dan akan dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum ke-14.
Calon itu, Muslimin Yahya, sebelum ini merupakan pegawai khas kepada setiausaha politik Zahid.
Ketua BERSATU dan Pakatan Harapan Sungai Besar, Hasnizam Adham mengesahkannya kepada Malaysiakini, dan berkata beliau yang mencadangkan Muslimin sebagai calon.
Ini adalah selepas pilihan asal parti itu, Mohd Ashraf Bahri, menarik diri pada minit terakhir.
"Saya telah memutuskan untuk memilih beliau (Muslimin) selepas biro politik memutuskan untuk menukar calon," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan bahawa Muslimin telah berdaftar secara rasmi sebagai anggota BERSATU pada hari Rabu (25 April).
Muslimin akan berdepan dengan penyandang kerusi itu, Budiman Mohd Zohdi dari BN dan Mohamed Salleh Mohd Husin dari PAS di Sungai Besar.

