Pandelela dan Jun Hoong raih emas lagi
Masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast baru-baru ini, penerjun sensasi Malaysia Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong Pamg menyumbang emas lagi, kali ini dalam pusingan ketiga Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA yang berlangsung di Montreal, Kanada, pada Jumaat.
Mereka mengumpul 322.74 mata selepas lima pusingan terjunan untuk berada di tempat teratas acara wanita 10m platform segerak di Centre sportif du Parc olympique – Parc olympique de Montréal, menurut laman sesawang Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) www.fina.org.
Kejayaan mereka itu hanya 0.84 mata mengatasi gandingan Korea Utara Kim Mi Rae-Kim Kuk Hyang, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Penerjun sensasi China Si Yiajie dan gandingan baharu beliau, Lin Shan membawa pulang gangsa selepas mengumpul 320.82 mata.
Pasangan Malaysia itu memenangi perak dalam acara sama dalam pusingan pertama di Beijing pada 9 Mac dan gangsa dalam pusingan kedua di Fuji, Jepun pada 15 Mac.
Kedua-dua atlet terjun itu akan beraksi dalam acara 10m platform individu hari ini.
Sementara itu, penerjun senior Leong Mun Yee yang bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara wanita 3m papan anjal segerak, berkesudahan di tempat tercorot selepas mengumpul 256.20 mata.
Acara itu dimenangi pasangan China Chang Yani-Shi Tingmao yang menguasai terjunan lima pusingan dengan mengumpul 313.50 mata, manakala atlet tuan rumah Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu dan peserta Australia, Anabelle Smith-Esther Qin masing-masing membawa pulang perak (304.83 mata) dan gangsa (295.80 mata).
- Bernama

