Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 l Akhirnya sah anak kedua bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar bakal bertanding di DUN Chempaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau muncul di Pusat Penamaan Calon bagi parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu kira-kira jam 9 pagi  ini.

Nik Omar yang berbaju Melayu putih sebelum itu menyertai perarakan penyokong HARAPAN bersama rakan-rakan calon bagi parlimen Pengkalan Chepa, Mohamad Ibrahim; calon DUN Panchor, Zulhazmi Hassan; dan calon DUN Kijang, Nik Azmi Nik Osman.

Terdahulu pada majlis pengisytiharan calon HARAPAN Kelantan yang 'kelam-kabut' malam semalam, gabungan parti pembangkang itu mengumumkan seorang yang bernama Mohammad Omar sebagai calon mereka bagi kerusi Chempaka.

Bagaimanapun, individu pemilik nama berkenaan tidak muncul di pentas utama untuk diperkenalkan kepada orang ramai yang hadir di Bilik Operasi DUN Kadok berkenaan.

Justeru kemunculan Nik Omar hari ini adalah kemunculan 'berani' beliau bersama AMANAH selepas sebelum ini dilihat berhalangan untuk ke depan menghadapi PAS kerana beberapa faktor.

Antaranya, salah seorang adik Nik Omar, Nik Mohamad Abduh, adalah orang kuat PAS dan tegar mempertahankan pendekatan diambil parti itu walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.

Sementara itu, Nik Omar akan berdepan dua pencabarnya di DUN tersebut iaitu Mohamad Fareez Nor Amran (BN) dan Ahmad Fathan Mahmood (PAS).

 

Lihat Komen
ADS