Penulis blog antipembangkang Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo menarik diri di saat-saat akhir daripada bertanding di kerusi parlimen Pandan.

Sekitar jam 8:30 pagi ini, dalam pesanan SMS kepada Malaysiakini, beliau berkata tidak akan bertanding kerana ingin memberikan laluan kepada MCA.

Sebelum ini, beliau pernah berkata mempertimbangkan bertanding parlimen pandan untuk mencabar Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum (PRU) 9 Mei ini.

Papagomo juga dilaporkan berkata mahu "mengajar" Wan Azizah dan keluarganya.

"Saya mempertimbangkan untuk bertanding di Pandan kerana saya hendak ajar Wan Azizah dan keluarganya. Mereka ini terlalu besar kepala dan ingat dunia politik tanah air kita hanya untuk mereka sekeluarga sahaja.

"Sistem demokrasi kita mereka liwat untuk kepentingan mereka. Suka-suka hati mereka tukar kerusi sana sini untuk ayah, emak dan anak," katanya.