Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sudah sah menjadi calon di DUN Chempaka, Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Insya-Allah apabila kita bersedia menjadi calon kita bersedia untuk menerima tanggungjawab.

"Kita berikrar untuk memberi khidmat yang terbaik asasnya kepada rakyat di DUN kita dan rakyat Kelantan," katanya ketika ditemui selepas majlis Penamaan Calon di Pengkalan Chepa, hari ini.

Terdahulu, anak kedua bekas menteri besar Kelantan allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mencetuskan spekulasi panjang sama ada akan menjadi calon ataupun tidak.

Bagaimanapun akhirnya segala teka-teki dan spekulasi berakhir untuk menidakkan desas-desus sebelum ini.

Ditanya apakah beliau mendapat keizinan daripada ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak, Nik Omar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya beliau berserah kepada ketentuan Allah S.W.T.

"Insya-Allah, insya-Allah, " katanya ringkas.

Nik Omar bakal berdepan calon daripada PAS yang juga penyandang kerusi tersebut, Ahmad Fathan Mahmood dan wakil BN, Mohamad Fareez Nor Amran.

Sementara itu, bagi parlimen Pengkalan Chepa menyaksikan calon PAS, Ahmad Marzuk Shaary berdepan calon BN, Zaluzi Sulaiman dan Mohamad Ibrahim mewakili HARAPAN.

Di DUN Kijang pula turut melibatkan saingan tiga penjuru antara calon PAS, Dr Izani Hussin, calon HARAPAN Nik Azmi Nik Osman dan BN diwakili Wan Shahrul Azwan Abd Aziz.

Bagi DUN Panchor menyaksikan penyandangnyan daripada PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bakal berdepan Zulhazmi Hassan mewakili HARAPAN dan Zarina Eusope calon BN.

Lihat Komen
ADS